Redzuan Muharam


LAZIMNYA, lukisan dihasilkan di atas kanvas namun Natasha Hafeiz Murshidie, 15, memilih untuk mencurahkan kreativitinya  itu di atas batu.

Natasha yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu berkata,  batu dijadikan sebagai medium berkarya  kerana keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baru.

Menurutnya, lukisan di atas batu juga memerlukan ketelitian tinggi, teknik dan kemahiran untuk mendapatkan hasil kerja yang kemas seperti yang diinginkan.

“Saya mula minat melukis sejak berumur empat tahun  tetapi  lebih kepada suka-suka.

“Ketika berumur 10 tahun, saya  mula aktif kembali dan ia adalah hasil galakan daripada  ibu dan ayah namun lebih banyak menghabiskan masa dengan hobi itu pada masa lapang.

BATU dijadikan sebagai medium berkarya kerana keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baru. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
BATU dijadikan sebagai medium berkarya kerana keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baru. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Pada awalnya, saya hanya melukis di atas kanvas tetapi mula beralih kepada medium lain iaitu  batu selepas diundang pengurusan surau di kawasan perumahannya untuk mengadakan bengkel  seni lukis untuk sekumpulan  kanak-kanak pada cuti sekolah.

“Mereka  yang memberi idea untuk melukis di atas batu dan bertitik tolak dari situ, saya ambil inisiatif untuk belajar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gombak, kelmarin.

Bercerita lanjut, Natasha berkata, dia menjadikan YouTube dan platform laman sosial yang ada sebagai rujukan untuk mempelajari sendiri teknik melukis di atas batu.

Pelajar Sekolah Menengah  (SM) Setia Budi, Gombak itu juga  mengakui lukisan di atas batu bukan mudah untuk dihasilkan  tetapi minat mendorongnya untuk terus belajar sehingga mahir  dengan teknik berkenaan.

“Lukisan di atas batu ini agak susah pada mulanya kerana  permukaan batu yang licin malah saya sendiri banyak melakukan  percubaan sebelum benar-benar mahir.

“Kebiasaannya, saya gunakan batu yang ada di sekitar rumah  dan antara lukisan yang dihasilkan setakat  ini adalah buah-buahan, haiwan, angkasa  lepas dan pemandangan.

“Ikutkan, saya lakukannya untuk kepuasan diri  tetapi gembira kerana  dapat berkongsi ilmu mengenai kemahiran itu dengan kanak-kanak menerusi satu bengkel yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

Berkongsi hala tujunya, Natasha bercadang menganjurkan program melukis sambil beramal pada hujung tahun ini dengan tujuan untuk mendermakan wang hasil lukisannya kepada rumah anak yatim.

Katanya,  pada masa sama, dia juga berharap diberi peluang untuk menyertai pameran kesenian yang membolehkannya mengetengahkan hasil karyanya kepada umum.

BATU dijadikan sebagai medium berkarya kerana keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baru. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
BATU dijadikan sebagai medium berkarya kerana keinginannya untuk mencuba sesuatu yang baru. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Saya mahu memperbanyakkan lagil hasil lukisan kerana merancang untuk menjual sebahagiannya menerusi satu program amal.

“Dengan hasil jualan itu, dapatlan saya menyumbang kepada yang memerlukan dan sasaran saya adalah membantu  rumah anak yatim,” katanya. 

Sementara itu, ibunya, Izyani Zulkifli, 41, menyedari minat Natasha sejak kecil dan memberi sokongan kerana melihat kesungguhan anaknya dalam bidang seni lukis.

“S​​​​​​​aya dan suami, nampak minat Natasha sejak berumur tiga tahun lagi  tetapi tidak begitu  memberi galakan ketika itu memandangkan dia masih kecil.

“Apabila usianya mencecah 10 tahun, kami lihat dia  (Natasha)  benar-benar serius dan sejak itu, saya ambil inisiatif dengan  mewujudkan akaun Instagram  (IG) bagi memuat naik gambar hasil karyanya di platform berkenaan sebagai tanda sokongan buatnya,” katanya. 

NATASHA Hafeiz Murshidie bersama lukisannya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
NATASHA Hafeiz Murshidie bersama lukisannya. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 9:04 PM
Digital NSTP Subscribe