PEGAWAI dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri mengadakan operasi penguatkuasaan larangan merokok di premis kedai makan dan restoran di Kuala Terengganu.
PEGAWAI dan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri mengadakan operasi penguatkuasaan larangan merokok di premis kedai makan dan restoran di Kuala Terengganu.
Baharom Bakar


“MAAF boh, ingat ker tak dok operasi lepas waktu jabak (pejabat). Operasi pah malam (hingga malam) ke boh?”

Itu kata seorang perokok ketika dihampiri pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri ketika dia merokok dalam sebuah kedai makan di bandar raya Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Lelaki berusia 40-an itu bagaimanapun akur selepas diberi penjelasan operasi diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam operasi diketuai Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Yusof Mat Ali itu anggota turut memberi nasihat kepada pelanggan agar tidak merokok dalam kedai makan.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Azimi Yunus memaklumkan operasi penguatkuasaan merokok bukan saja diadakan pada waktu siang, malah pada sebelah malam termasuk di kawasan pedalaman.

“Sepanjang lima hari operasi penguatkuasaan peraturan larangan merokok di premis makanan di seluruh negeri mulai 1 Januari lalu, sebanyak 126 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun RM30,700 dikeluarkan kepada perokok.

“Notis kesalahan paling banyak dikeluarkan ialah kepada perokok iaitu 106 dengan nilai kompaun RM26,500 manakala 14 lagi notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dengan nilai kompaun sebanyak RM3,500,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dr Azimi menjelaskan, sebanyak dua notis kesalahan dikeluarkan kepada pemilik premis kerana menyediakan kemudahan merokok dengan nilai kompaun sebanyak RM500 dan empat lagi notis dikeluarkan atas kesalahan belum dewasa membabitkan nilai kompaun berjumlah RM200.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan pertama boleh merayu dikurangkan kadar kompaun di semua pejabat kesihatan daerah dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan.

“Individu yang gagal membayar kompaun dalam tempoh dua bulan dari tarikh notis dikeluarkan akan diambil tindakan mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 6:06 AM