Rosyahaida Abdullah


“MURID yang dulunya pendiam dan cuma tunduk ketika sesi soal jawab, kini lebih aktif di kelas malah dialah yang pertama mengangkat tangan,” kata Nor Azizah Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Cikgu Gja (disebut Jija), 34.

Video Cikgu Gja mulai tular di media sosial selepas guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Idris di Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu memuat naik rakamannya di Facebook Jumaat lalu ketika dia menanda ‘buku ganjaran’ yang disediakan atas inisiatif sendiri untuk menyuntik nilai positif dalam kalangan muridnya.

Menurut Cikgu Gja, idea untuk menggunakan buku ganjaran itu timbul susulan kaedah seumpamanya dikongsi seorang guru lain di media sosial tahun lalu.

Melakukan sedikit penambahbaikan pada idea asal mengikut kesesuaian latar belakang murid di sekolahnya, Cikgu Gja berkata, tujuannya hanyalah untuk menyuntik semangat belajar serta disiplin murid sewaktu menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).

Hasil penggunaan buku ganjaran itu, katanya, majoriti murid kini aktif berinteraksi sepanjang di kelas.

Malah, kata Cikgu Gja, muridnya juga seakan berlumba-lumba sesama mereka melakukan segala perkara positif demi mendapatkan hadiah yang disediakannya menerusi buku ganjaran itu.

“Secara asasnya, buku ini mempunyai lapan muka surat yang mana setiap halaman ada sekitar 25 kotak yang saya akan ‘tick’ (tanda) satu persatu mengikut tugasan yang berjaya diselesaikan murid berkenaan.

“Bagaimanapun, saya fleksibel, tidak semestinya membabitkan kerja sekolah saja. Ada kalanya saya tanda sebagai penghargaan disebabkan murid terbabit berkelakuan baik pada hari itu.

“Mereka boleh tebus ganjaran yang sudah tertera pada setiap halaman jika semua kotak pada muka surat terbabit habis ditanda. Setiap halaman menawarkan ganjaran berbeza,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

CIKGU Gja mencuri perhatian warganet apabila mengambil inisiatif menggunakan ‘buku ganjaran’ kepada murid dalam sesi pembelajaran. FOTO Ihsan Cikgu Gja
CIKGU Gja mencuri perhatian warganet apabila mengambil inisiatif menggunakan ‘buku ganjaran’ kepada murid dalam sesi pembelajaran. FOTO Ihsan Cikgu Gja

Berdasarkan hantaran Cikgu Gja di Facebooknya, antara ganjaran yang disediakan termasuk fail, krayon, pelekat bercorak, kupon kantin, kupon kedai buku dan hadiah misteri.

Jelas Cikgu Gja, inisiatif yang dimulakan sebelum pertengahan tahun lalu itu nyata mendapat maklum balas positif majoriti ibu bapa.

Ini kerana, katanya, ibu bapa sendiri melihat perubahan pada anak mereka yang lebih teruja untuk ke sekolah, malah semakin bertanggungjawab.

“Hasil penggunaan buku ganjaran ini, murid bukan saja lebih terkawal di dalam kelas, malah mereka mula memberi perhatian ketika saya mengajar.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada prestasi akademik mereka.

“Ada yang tahap penguasaan mereka dalam Bahasa Melayu meningkat ketara sedangkan sebelum ini perkembangannya agak perlahan,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan pihak sekolah terhadap inisiatif itu, Cikgu Gja berkata, setakat ini pihak sekolah tidak menghalang kaedah yang digunakannya apa lagi semua perbelanjaan untuk buku serta ganjaran berkenaan tidak membabitkan peruntukan sekolah sebaliknya duit poketnya sendiri.

“Saya gunakan wang sendiri untuk cetak buku ini, saya tidak ingat tetapi kosnya mungkin sekitar RM5 untuk satu buku dan saya cetak untuk kesemua murid tahun empat yang saya ajar,” katanya.

Cikgu Gja berkata, lebih menggembirakannya apabila kaedah itu dikatakan turut diguna pakai sebilangan ibu bapa bagi membentuk nilai murni anak mereka.

‘BUKU ganjaran’ yang digunakan Cikgu Gja untuk menyuntik nilai positif dalam kalangan murid. FOTO Ihsan Cikgu Gja
‘BUKU ganjaran’ yang digunakan Cikgu Gja untuk menyuntik nilai positif dalam kalangan murid. FOTO Ihsan Cikgu Gja

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 8:55 PM
Digital NSTP Subscribe