ADUN Dengkil, Adhif Syan Abdullah. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Amir Abd Hamid dan Nurul Hidayah Bahaudin


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan maklumat tular di media sosial mengenai beliau ditangkap polis selepas didapati positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan sekitar Damansara, Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Sebaliknya, ketika dihubungi Harian Metro pada 10.17 pagi tadi hari ini, beliau berkata akan membuat siaran media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Ketika dihubungi wartawan, Adhif Syan, 39, memberitahu berada di rumahnya di Pulau Meranti, Puchong dan turut akan melakukan laporan polis berhubung tular palsu itu.

“Kalau page yang viral itu memang palsu la. Saya akan berjumpa dengan Tan Sri untuk dapatkan pandangan,” katanya.

Terdahulu, tular seorang ADUN Selangor dan empat pegawai khas ahli politik antara 17 individu ditahan polis dalam satu operasi.

Dalam satu tular lain pula, mereka berusia antara 26 hingga 53 tahun termasuk enam wanita itu dikatakan ditahan pada 4.45 petang semalam di sebuah kondominium di Jalan Puchong.

Menurut sumber, penahanan itu berpunca daripada laporan terhadap bunyi bising daripada sebuah parti persendirian di kondominium terbabit.

“Hasil siasatan lanjut, polis turut menemukan serbuk dipercayai dadah dan rokok dipercayai berisi ganja.

“Saringan awal ujian air kencing mendapati 16 daripada mereka positif,” katanya sambil menjelaskan ADUN terbabit kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 11:39 AM