NUR Dinie Damia. FOTO Facebook Media Johor
NUR Dinie Damia. FOTO Facebook Media Johor
Mohamed Farid Noh


“KAMI amat sedih dengan kelakuan (menularkan berita kematian) tidak bertanggungjawab itu.

“Pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA, Johor Bahru) bertungkus lumus memastikan keadaan anak saya pulih,” kata Muhammad Noor Amin, 38, bapa kepada Nur Dinie Damia, 7, yang kini kritikal disyaki dijangkiti influenza A.

Muhammad Noor memberi reaksi itu selepas berita palsu mengenai anaknya, termasuk dakwaan mengatakan Nur Dinie sudah meninggal dunia, tular di media sosial.

Menurutnya, anaknya itu yang kini dalam keadaan kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA di Johor Bahru.

“Pakar HSA memaklumkan otak Nur Dinie didapati mati apabila melakukan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), namun masih berharap kesihatannya kembali pulih, ” katanya yang ditemui pemberita di luar ICU HSA, hari ini.

Muhammad Noor yang kelihatan sebak berkata, Nur Dinie dimasukkan ke ke ICU HSA sejak empat hari lalu selepas kesihatannya merudum ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.

“Nur Dinie sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak menghidap sebarang penyakit namun kesihatannya tiba-tiba merudum selepas mengalami demam minggu lalu.

“Hari ketiga demamnya masih tidak kebah menyebabkan saya membawanya ke klinik sebelum dia disahkan dijangkiti influenza A sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta.

“Keadaan Nur Dinie ketika dirawat di hospital swasta juga tidak menunjukkan perubahan di samping mengalami muntah darah menyebabkan dia dirujuk ke HSA dan dimasukkan ke dalam ICU bagi pemantauan pakar, ” katanya.

Pagi hari ini, Jabatan Kesihatan Johor (JKJ) mengesahkan seorang murid Tahun Satu dirawat di ICU sebuah hospital di Johor, dijangkiti influenza A. Kisah Nur Dinie Damia itu tular di media sosial sejak semalam.

Berita berkaitan

Nur Dinie Damia kini tenat, kritikal

Bukan hanya influenza, ada komplikasi lain

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 10:11 PM