SITI Khalijah menunjukkan tempat adiknya ditikam suspek semalam.  FOTO NOR FARHANI CHE AD
SITI Khalijah menunjukkan tempat adiknya ditikam suspek semalam. FOTO NOR FARHANI CHE AD
Nor Farhani Che Ad


“KAMI hanya tergamam apabila melihat dia masuk dalam rumah secara tiba-tiba dan menikam adik lalu melarikan diri sebelum muncul semula meminta maaf.”

Begitu kata Siti Khalijah Zulkefeli, 20, kakak sulung kepada Nur Adawiyah Safiyya, 5, yang parah ditikam jiran di Kampung Keda Che Bema, Sungai Layar di sini, kelmarin.

Khalijah berkata, ketika kejadian, adiknya baru pulang dari tadika dan tidur bersama ahli keluarga lain di ruang tamu.

Menurutnya, dia yang turut berada di ruang tamu terdengar bunyi pagar kayu pintu dapur rumah mereka seperti dilanggar seseorang dan menyangka mungkin rakan adiknya datang ke rumah untuk bermain.

“Beberapa minit selepas bunyi pagar kayu dilanggar, saya nampak dia (jiran lelaki) melutut di tepi adik dan terus menikam perutnya dengan pisau.

“Ketika itu, mak terus menyergahnya membuatkan dia terkejut dan melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Khalijah berkata, ibunya, Juliana Shafie, 41, pengsan apabila melihat keadaan adik bongsunya lalu membawanya ke hospital dengan bantuan jiran.


“Waktu dalam rumah, perut adik tak berdarah sangat namun bila masuk dalam kereta, saya nampak banyak darah keluar dari tempat tikaman itu dan ususnya juga sudah kelihatan,” katanya.

Katanya, keluarganya tidak menyangka lelaki berusia 27 tahun yang begitu rapat dengan mereka sanggup melakukan perkara sedemikian.

“Hubungan kami rapat dari dulu dan dia sering belanja kami sekeluarga makan.

“Dia juga baru lima hari pulang dari Singapura kerana bekerja di sana sebagai pembantu kedai makan.

“Memang dia ada meminta maaf dengan kami kerana katanya dia tidak sedar apa yang dilakukan,” katanya.

Katanya, adiknya dirawat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sudah stabil namun masih lemah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 6:20 AM