NURFARAHDILA meninggal dunia selepas hampir dua bulan dirawat.
Zuhainy Zulkiffli


WANITA yang parah selepas disamun di Persiaran Jenahak 2, Seberang Jaya, dekat Bukit Mertajam pada November lalu, meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa, Nurfarahdila Zulkifli Amin, 32, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Katanya, pekerja butik di Bandar Perda itu mengalami patah tulang leher dan kecederaan lain sebelum ini sudah menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Dia dipindahkan ke HSJ selepas pembedahan dan dirawat hampir dua bulan sebelum meninggal dunia, malam tadi.

“Suspek yang melakukan jenayah itu, lelaki berusia 30 tahun sudah ditahan dan akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada Khamis (16 Januari).

“Siasatan juga dapati dia ada enam rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, suspek berjaya ditahan susulan laporan dibuat majikan mangsa selepas dimaklumkan orang awam yang melihat kejadian itu pada 9.30 pagi, 23 November 2019.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa kehilangan telefon bimbit pintar, kad pengenalan dan kad bank.

“Ketika itu juga, dia sempat memberitahu tempat kerjanya kepada orang awam yang menyelamatkannya selain meminta menghubungi keluarganya,” katanya.

Susulan kematian mangsa, polis kini menukar siasatan kes kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 4:18 PM