Cheyenne (kiri) dan Si Teng (kanan) tercalon dalam kategori Subjek Dokumentari Pendek Terbaik melalui karya St Louis Superman.
Georgie Joseph


DUA penerbit kelahiran Malaysia iaitu Poh Si Teng dan Cheyenne Tan mencipta nama di Academy Awards 2020 atau Oscars apabila karya mereka St Louis Superman tercalon dalam kategori Subjek Dokumentari Pendek Terbaik.

Cheyenne berkata, mereka sangat teruja dengan pencalonan itu dan berterima kasih kepada Bruce Franks Jr yang sudi kongsikan ceritanya untuk dokumentari terbabit.

“Kami sangat berbesar hati dapat pencalonan Oscars untuk St Louis Superman. Kejayaan ini semuanya berpunca daripada cerita hebat Bruce Franks Jr dan kami sangat bersyukur dapat bekerjasama untuk menceritakan kisahnya.

“Kami ingin kongsikan penghormatan ini kepada Bruce dan keseluruhan pasukan pembikinannya termasuklah MTV Documentary Films dan AJE Witness. Terima kasih pihak Academy kerana mengiktiraf filem kami dan hasil kerja Bruce,” tulisnya di Instagram.

Dokumentari berdurasi 25 minit itu dicalonkan bersama empat lagi karya iaitu In The Absence, Learning To Skateboard In A Warzone (If You're A Girl), Life Overtakes Me and Walk Run Cha-Cha daripada 96 karya yang dipertandingkan.

St Louis Superman diarahkan Smriti Mundhra dan Sami Khan yang mengisahkan perjalanan hidup Franks Jr sebagai aktivis dan penyanyi rap. Dia bertanding dalam Missouri House of Representatives pada 2016 serta memenanginya.,

Inspirasi tercetus dalam dirinya untuk menceburi politik selepas insiden remaja keturunan Afrika-Amerika, Michael Brown Jr. ditembak mati polis berkulit putih di Ferguson, Missouri, berhampiran kediaman Frank.

Oscars 2020 bakal berlangsung pada 9 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 10:27 PM