Rosyahaida Abdullah


BUKAN sekadar melukis ala arkitek malah turut aktif dalam bidang seni mempertahankan diri taekwando serta gemar bermain basikal BMX dan mempamerkan prestasi baik dalam akademiknya.

Demikian boleh dirumuskan bakat cilik Airiel Haziq, 12, yang tular di media sosial sejak kelmarin selepas lukisannya umpama golongan profesional dimuat naik bapanya, Mohd Hardy Ahmad, 41, di Facebook dan mendapat perhatian warganet.

Menurut Mohd Hardy, kebolehan melukis Airiel mula dikesan ketika dia berusia tiga hingga empat tahun apabila dia dilihat gemar menconteng di merata tempat termasuk lantai rumah.

Walau bagaimanapun, pegawai penyelaras insurans ini berkata, pada peringkat awal, Airiel hanya melukis objek biasa khususnya yang ada di depan mata.

“Mungkin dia terikut-ikut saya kerana kadang-kala saya juga akan melukis pada waktu lapang tetapi lukisan saya lebih kepada potret.

“Namun, lama-kelamaan saya sedar lukisan Airiel mula berubah dan bertambah baik, jauh lebih baik daripada saya sehinggakan ketika dia di darjah empat, guru seninya memberitahu gaya dan strok lukisan Airiel seakan artis profesional.

“Lukisannya pada usia itu nampak menyerlah kerana disertai dengan bayang dan kesan-kesan khas. Setiap kali ujian membabitkan Pendidikan Seni pun dia sentiasa memperoleh markah 90 ke atas, 100 juga pernah beberapa kali,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

AIRIEL sedikit demi sedikit mula menguasai lukisan seni bina. FOTO ihsan Mohd Hardy Ahmad

Rentetan minat itu, Mohd Hardy berkata, Airiel sedikit demi sedikit mula menguasai lukisan seni bina dan memuat turun sendiri aplikasi berkaitan di telefon bimbitnya untuk mendalami bidang itu.

Jelas bapa kepada dua anak ini, pelbagai perkara berkaitan seni bina pernah Airiel ajukan kepadanya termasuklah berhubung individu yang terbabit dalam pembinaan menara jam di Makkah.

“Setiap kali kami melalui kawasan pembangunan baru, Airiel akan meminta saya singgah di rumah contoh perumahan terbabit kerana dia mahu melihat lebih dekat reka bentuk dan seni binanya.

“Sejak kecil, bukan Airiel saja malah adiknya pun saya akan sedaya upaya jawab pertanyaan mereka malah apa yang mereka ingin tahu saya cuba penuhi asalkan logik pada usia mereka.

“Pernah juga mereka bertanya mengenai mesin di sawah padi ketika kami melalui kawasan itu. Disebabkan sudah terlajak, saya patah balik (kereta) untuk membolehkan mereka lihat lebih dekat mesin itu,” kata Mohd Hardy.

AIRIEL turut gemar bermain basikal BMX. FOTO ihsan Mohd Hardy Ahmad

Jelasnya lagi, disebabkan kebolehan Airiel, dia dan isteri turut mempertanggungjawabkan Airiel untuk mereka bentuk dapur basah yang ingin diubahsuai dan ternyata Airiel turut memasukkan ruang berlatih taekwando dalam hasil lukisannya.

Difahamkan, Airiel bakal menjalani ujian untuk mendapatkan tali pinggang merah dalam taekwando minggu depan.

Hasil pembabitannya dalam seni mempertahankan diri itu, Airiel juga berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam satu kejohanan taekwando di Thailand tahun lalu.

Ditanya berhubung pencapaian Airiel dalam akademik, Mohd Hardy berkata, dia tidak pernah memaksa Airiel untuk sentiasa cemerlang namun prestasi anak sulungnya itu juga tidak begitu mengecewakan.

“Tahun lalu, dia mendapat tempat ke-13 daripada 158 murid darjah lima di sekolahnya. Secara keseluruhan dia memperoleh 2A dan 4A, saya dan isteri sudah cukup bersyukur.

“Selain melukis dan taekwando, Airiel juga gemar bermain basikal BMX dan saya tidak pernah menghalang kerana setakat ini pun, Airiel dilihat mampu bahagikan masa,” katanya yang menetap di Alor Setar, Kedah.

AIRIEL dan lukisannya. FOTO Mohd Hardy Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 9:16 PM