“SELAMA setahun prosiding perceraian ini berlangsung, saya tak nampak usaha dia untuk selamatkan perkahwinan kami,” kata Noor Nabila mengenai sebutan kes perceraian dengan suaminya yang juga pelakon popular Sharnaaz Ahmad, hari ini.

Prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan itu menyaksikan wakil dalam proses timbang tara (hakam) yang dilantik kedua-dua pihak gagal mencari kesepakatan sekali gus mahkamah menggugurkan hakam yang diwakili serta menetapkan 27 Februari untuk melantik hakam baru.

Dalam proses itu, mahkamah menerusi Seksyen 47 (14) dan Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 mempunyai kuasa melantik dalam kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak iaitu dua penimbang tara yang mempunyai maklumat berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.

Nabila yang ditemui selepas selesai prosiding kes perceraiannya yang dijalankan secara tertutup berkata, dia terkilan apabila proses perceraian dipanjangkan pihak Sharnaaz.

“Sepatutnya perkara ini boleh dipercepatkan jika Sharnaaz melafazkan cerai, tapi disebabkan proses yang berlangsung ini perceraian tidak dapat dibuat.

“Saya memang tidak mahu teruskan perkahwinan ini. Sepatutnya kedua-dua belah pihak faham yang kita boleh teruskan kehidupan masing-masing. Dia sudah menjalani kehidupan hampir setahun tanpa isteri, begitu juga dengan saya ,” katanya yang juga kakak kepada pengacara dan pelakon popular Neelofa.

Menurut Noor Nabila, kes keretakan rumah tangga mereka tidak sepatutnya dipanjangkan memandangkan mereka ada anak yang perlu dijaga bersama.

 NOOR Nabila Mohd Noor isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad hadir pada keputusan kes hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
NOOR Nabila Mohd Noor isteri kepada pelakon Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad hadir pada keputusan kes hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.

“Kami ada anak, jadi tak payah dipanjangkan atau ada pihak terasa hati. Saya rasa lebih baik teruskan kehidupan, berbaik-baik untuk besarkan anak tanpa ada rasa dendam atau marah.

“Namun, apa yang membuatkan saya tak faham apabila pihak sana tergamak buat macam ini (memanjangkan kes). Adakah Sharnaaz nak selamatkan perkahwinan tapi apa usaha yang dia buat? Saya memang sudah tawar hati dan tidak nampak sebarang usaha daripada pihaknya untuk kembali bersama saya,” katanya.

Sementara itu, Sharnaaz ketika ditemui enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Tiada apa nak cakap,” katanya sebelum meninggalkan mahkamah.

Dalam prosiding itu, Noor Nabila diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Sharnaaz diwakili Datuk Akberdin Abdul Kader.

Pada 11 September lalu, mahkamah memerintahkan satu Jawatankuasa Pendamai (JKP) dibentuk bagi mencari penyelesaian dalam kes tuntutan cerai pasangan ini.

Bagaimanapun, Sharnaaz pula memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya itu pada 30 September lalu.

Bagi prosiding JKP Sharnaaz melantik rakan baiknya sebagai wakil manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya Abdul Halim Khan.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 12:01 PM
Digital NSTP Subscribe