AMIRA Othman ketika hadir pada malam Anugerah Stail.
AMIRA Othman ketika hadir pada malam Anugerah Stail.
Norhayati Nordin

PANTASNYA masa berlalu, kini hampir tujuh tahun penyanyi, pengacara dan pelakon, Amira Othman, 27, aktif dalam kerjaya seni.

Biarpun langkah awal sebagai penyanyi yang bermula sekitar 2013 seakan ‘suram’, namun dua tahun selepas itu Amira berjaya bangkit dengan lagu solo berjudul Hati-Hati.

Pada 2016 pula, Amira mempertaruhkan lagu Jaga-Jaga berserta pembabitannya sebagai pelakon utama dalam drama Abang Bomba, I Love You bersama Hisyam Hamid.

Selesa meneruskan kerjaya lakonannya dengan menerima tawaran membintangi beberapa drama, pada 2018 baru Amira muncul semula dengan lagu solo berjudul Mimpi Indah.

Namun, sayangnya ‘keindahan’ diimpikan Amira tidak menjadi nyata apabila lagu itu kurang membawa impak besar seperti Hati-Hati dan Jaga-Jaga.

Justeru, untuk 2020 ini sudah tentu Amira memiliki perancangan baru dalam usaha terus mengembangkan kerjaya seninya supaya diingati dan kekal bertahan.

Amira berkata, sebenarnya dia merancang mahu beri tumpuan pada kerjaya nyanyian dengan harapan dapat mencari lagu terbaik.

“Walaupun lagu Mimpi Indah tidak menjadi seperti Hati-Hati dan Jaga-Jaga, saya tidak sedikit pun berasa kecewa. Barangkali rezekinya setakat itu.

“Saya faham penerimaan pendengar muzik tetap tidak sama dan pasti berubah. Jadi, sebagai penyanyi saya tidak boleh cepat putus asa untuk terus mencuba.

“Ditambah, hasil perbualan dengan rakan penyanyi berpengalaman yang lain, kebanyakan mereka mengakui bukan mudah hendak mendapatkan karya lagu terbaik dan bagus,” katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman ini, dia sentiasa akan teliti dalam setiap aspek lagu.

“Disebabkan cerewet untuk memilih lagu sesuai, hingga kini saya belum berjaya mendapatkan lagu solo yang sedap didengar dengan lirik ‘catchy’.

“Apapun, saya tetap bersyukur kerana lagu-lagu yang pernah saya rakam masih berpeluang dimainkan di stesen radio. Walaupun tidak selalu dimainkan, tetapi nasib lagu itu tidaklah begitu buruk,” katanya.

Amira berkata, buat masa ini dia masih berusaha mencari lagu baru yang bagus dan sesuai dengan vokalnya untuk dirakam dan dalam masa sama dia juga enggan terburu-buru.

Bagi Amira, biarlah lambat asalkan lagu baru nanti benar-benar bagus dan terbaik sekali gus menepati cita rasa pendengar.

Katanya, cita rasa pendengar muzik masa kini sukar dijangka dan penyanyi kena berani mencuba. Jika sudah rezeki pasti tidak ke mana.

Azam mengerjakan umrah setiap tahun

Pada usia muda, Amira sudah bergelar hajjah apabila berpeluang mengerjakan haji tahun lalu.

Katanya, gelaran itu sangat istimewa dan bukan bebanan walaupun dia seorang selebriti.

Menurut Amira, dia masih lagi boleh aktif dalam pelbagai cabang seni.

“Impian saya semoga Allah sentiasa memberi rezeki untuk ke Makkah mengerjakan umrah. Untuk tahun ini, saya bersyukur Allah makbulkan doa saya mengerjakan umrah bersama ibu dan adik-beradik lain.

GELARAN hajjah sangat istimewa.
GELARAN hajjah sangat istimewa.

“Sudah tiga kali saya berpeluang menjadi tetamu Allah dengan menjejak kaki di Makkah dan Madinah. Sekali mengerjakan haji dan dua kali buat umrah,” katanya.

Mengulas impiannya mahu menunaikan umrah setiap tahun, dia bukan hendak menunjukkan diri sebagai baik tetapi jiwanya sangat tenang berada di Tanah Suci.

Katanya, dia puas dapat melakukan ibadat dengan tenang termasuk melupakan seketika urusan dunia. Menurut Amira, Makkah dan Madinah adalah destinasi paling menarik dan tenang di dunia baginya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe