MUHAMAD Irfan (dua kanan) dan Hazman (kiri) memberi keterangan kepada polis. FOTO Rosli Ilham


"MEREKA berempat dipukul ombak besar sehingga terpisah," kata Hazman Zamili, 21, selepas empat rakannya tenggelam dan dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan, hari ini.

Keempat-empat mangsa, Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dari Kuantan; Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, dari Kemaman; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dari Kuala Terengganu dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, dari Melaka, dikatakan mandi di pantai terbabit kira-kira 6 petang tadi.

Selain Hazman yang berasal dari Kelantan, turut terselamat dalam tragedi itu adalah rakannya, Muhamad Irfan Kamaruzaman, 20, yang berasal dari Rawang, Selangor.

Kesemua penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun itu dikatakan dipukul ombak pada 6.30 petang.

Hazman berkata, mereka pertama kali datang dan mandi di pantai terbabit.

"Air ketika itu sungguh tenang dan tidak berombak, pasal tu kami sepakat untuk turun mandi di situ.

"Tiba-tiba kami dipukul ombak dan saya dan Irfan tidak berani menyelamatkan mereka kerana ketika itu air sangat dalam," katanya.

Menurutnya, beberapa pengunjung yang menyaksikan kejadian itu sempat melemparkan pelampung namun ia hanyut dan gagal dicapai.

"Saya dan Ifran meminta kesemua mereka cuba sedaya upaya berenang ke darat namun mereka gagal kerana terkena beberapa lagi pukulan ombak.

"Kami berdua berjaya naik ke darat namun sangat sedih selepas mendapati kesemua rakan telah hilang dari pandangan dan tengelam ke dasar laut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, 30 anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan gerakan mencari dan menyelamat.

Berita berkaitan:

  • 4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 9:28 PM