SUKERI patah jari telunjuk kanan selain melecur sebahagian daripada badannya. FOTO Ihsan Zubaidah Jumaat
Adnan Ibrahim

SEORANG lelaki melecur sebahagian badan dan patah jari telunjuk kanan selepas disiram air panas dan dibelasah tiga lelaki di Kampung Sri Lumpur, Mersing, Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, mangsa berusia 24 tahun itu turut diugut bunuh oleh kumpulan lelaki berusia 20-an yang berlaku di sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira jam 8 malam itu.

Kakak mangsa, Zubaidah Jumaat, 27, berkata, adiknya Sukeri, 24, pada mulanya ke kampung itu untuk menziarahi ibu angkatnya sebelum dipanggil oleh salah seorang daripada tiga lelaki berkenaan yang berada di rumah sebelah.

Katanya, sebaik sampai di rumah jiran ibu angkatnya itu, adiknya dipaksa menanggalkan baju dan seluar tanpa sebarang penjelasan kenapa dia perlu berbuat demikian.

"Adik juga dipaksa masuk ke dalam bilik mandi di rumah itu sebelum seorang lelaki dengan dibantu seorang rakannya mencurahkan air panas ke badannya.

"Adik saya turut dibelasah mereka berdua serta pasangan kekasih yang turut berada di dalam rumah itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Zubaidah, dia difahamkan semuanya berlaku gara-gara adiknya yang tinggal bersama keluarga di Kampung Pengkalan Batu itu tidak pernah dilihat ke Kampung Sri Lumpur.

"Selepas membelasah adik saya dipercayai menggunakan objek keras, dia kemudiannya dipaksa menunggang motosikal miliknya ke Sungai Derhaka sambil salah seorang lelaki itu membawa sebilah parang serta mengugut untuk membunuhnya.

"Mujur adik saya panjang akal, sebaik sampai di sungai dan lelaki itu turun dari motosikal, dia terus memecut balik ke kampung sebelum dirujuk ke Hospital Mersing untuk rawatan,” katanya.

KEADAAN badan Sukeri selepas disiram dengan air panas oleh dua orang lelaki dalam kejadian di Kampung Sri Lumpur. FOTO Ihsan Zubaidah Jumaat

Zubaidah berkata, akibat kejadian itu, adiknya yang juga anak ke lima daripada 14 beradik patah jari telunjuk kanan selain melecur sebahagian daripada badannya.

"Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada hari Rabu iaitu selepas dua hari adik dirawat di hospital," katanya.

Insiden yang menimpa Sukeri turut dikongsi Zubaidah di laman sosial Facebook yang mendapat reaksi netizen menyifatkan perbuatan itu sangat melampau dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing mengesahkan menerima laporan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Suspek sedang diburu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 8:00 PM