MUHAMMAD Haryz diterima masuk ke Mensa UK. FOTO ihsan Nur Anira Asyikin Hashim
Redzuan Muharam


KEPINTARAN Muhammad Haryz Nadzim, 4, melayakkan kanak-kanak itu diterima masuk ke Mensa iaitu persatuan IQ global di United Kingdom (UK).

Ia sekali gus menjadikan Muhammad Haryz sebagai individu kedua termuda dan yang terpilih menyertai persatuan berkenaan.

Kelebihan dimiliki Muhammad Haryz mendapat perhatian selepas kisahnya disiarkan oleh agensi media antarabangsa iaitu Metro.co.uk sebelum tular di laman sosial tempatan.

Menyingkap rahsia di sebalik kepintaran Muhammad Haryz, ibunya, Nur Anira Asyikin Hashim, 30, berkata, dia dan suami gemar membacakan buku cerita ketika anaknya masih bayi.

Menurutnya, dia dapat melihat Muhammad Haryz memberi reaksi senyum dan ketawa seolah-olah mengerti cerita yang dibaca ketika anak mereka itu berusia sebulan.

Muhammad Haryz turut menunjukkan perkembangan tumbesaran memberangsangkan apabila dapat berjalan dan bertutur seawal usia tujuh bulan.

“Mulanya, saya dan suami tidak berasa hairan dan menganggap perkembangan itu perkara yang biasa. Namun, selepas menghantarnya masuk ke sekolah pada tahun lalu, seorang guru memberitahu bahawa tahap IQ Muhammad Haryz tidak sama dengan murid lain dan layak menyertai Mensa.

“Kami cuba dapatkan kepastian dengan membawanya bertemu pakar psikologi dan mengejutkan apabila Muhammad Haryz meraih skor IQ yang tinggi iaitu 142 dalam ujian Stanford Binet sebelum ditawarkan menyertai Mensa pada 14 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi Whatsapp.

Nur Anira yang menetap di Durham, UK sejak 2015 berkata, rutin harian anaknya kini adalah ke sekolah pada sebelah pagi dan melakukan aktiviti bebas pada waktu petang.

Menurutnya, Muhammad Haryz yang dilahirkan di UK juga gemar membaca buku dan cenderung dengan aktiviti itu sejak berusia dua tahun lagi.

Katanya, Muhammad Haryz bertutur dalam Bahasa Melayu cuma lebih selesa berbahasa Inggeris.

“Muhammad Haryz memang suka membaca dan tidak boleh tidur sekiranya tidak menghabiskan sekurang-kurangnya dua buku sebelum tidur.

“Saya dan suami akan terus berikan galakan tetapi tidak pasti jika gelaran genius itu sesuai kerana mungkin ada yang lebih pintar di luar sana tetapi amat bersyukur dianugerahkan anak sepertinya.

“Diharap, kelebihan itu digunakan ke arah perkara yang boleh memanfaatkan dirinya dan orang lain,” katanya yang kini menyambung pengajian bersama suami dalam jurusan kejuruteraan di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 10:55 PM