MUHAMMAD ISSQANDAR ABDULLAH
Nazri Abu Bakar


“SAYA tidak menduga ada pihak ikhlas melunaskan pinjaman RM2,000 selepas kisah kami disiarkan portal berita Harian Metro Online, Selasa lalu,” kata ibu tunggal Ummi Kalsom Md Said, yang menetap di Kampung Lendu di sini.

Kisah keperitan dia meminjam wang untuk membeli komputer riba bagi anak tunggalnya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas kemudahan itu dicuri sebelum ini, menarik perhatian insan budiman membantunya.

Ummi Kalsom, 50, berkata, dia tidak mengharapkan apa-apa kecuali pencuri terbabit memulangkan komputer anaknya menerusi rayuan dalam Harian Metro.

Namun, mereka dikejutkan dengan kesudian insan berhati mulia melunaskan RM2,000 kepada jiran yang memberi pinjaman.

“Sebelum ini, saya berjanji bayar ansuran RM100 setiap bulan sehingga selesai, namun kini saya amat terharu, sayu dan bersyukur dengan keprihatinan insan terbabit.

“Tidak terbalas jasa mereka dan paling utama masih ramai insan ikhlas seperti ini. Kisah ini mengejutkan saudara-mara kami yang amat prihatin,” katanya.

Sebelum ini dia tidak memaklumkan kejadian kepada sesiapa, tetapi selepas kisahnya viral mereka segera memberi perhatian kepada isu terbabit.

Anaknya, Muhammad Issqandar Abdullah berkata, dia gembira dan berterima kasih kepada semua yang prihatin.

Katanya, dia lega dan bersyukur kerana ibunya tidak perlu membayar RM100 setiap bulan bagi melunaskan hutang berkenaan.

“Terima masih Harian Metro membantu penyelesaian masalah saya pada masa sama, mengharapkan pencuri terbabit mendapat hidayah.

“Saya sedih kerana dalam komputer itu ada kertas kerja kursus untuk Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang perlu dihantar tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, saya bersyukur masih mampu menyediakan semula kerja kursus itu selepas ibu membeli komputer riba baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:40 AM