SUHU menurun sehingga -2 darjah menyebabkan tumbuhan di kawasan Panalaban diselaputi ais. FOTO Facebook Suhaimi Danin
SUHU menurun sehingga -2 darjah menyebabkan tumbuhan di kawasan Panalaban diselaputi ais. FOTO Facebook Suhaimi Danin
Recqueal Raimi

PENDAKI gunung Kinabalu ketika ini berpeluang menyaksikan fenomena digelar 'hutan kristal' apabila suhu menurun sehingga -2 darjah Celsius menyebabkan tumbuhan di kawasan Panalaban diselaputi ais.

Pengurus Taman Kinabalu, Yassin Miki berkata, kejadian air atau embun pada tumbuhan kecil diselaputi ais itu dilaporkan mula berlaku sejak 5 pagi, kelmarin.

"Perkara ini sebenarnya sudah biasa berlaku apabila cuaca terlalu sejuk ketika musim kemarau menyebabkan tumbuhan kecil berhampiran sungai atau takungan air diselaputi ais."

"Kejadian ini berlaku beberapi kali setiap tahun dan tidak kekal dalam tempoh panjang. Sebaik sahaja matahari terbit, ais itu akan cair dan tumbuhan akan kembali kepada asal," katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di sepanjang lereng kaki gunung bermula kilometer 6.5 sehingga kilometer 8.

"Kejadian ini sama seperti takungan air bertukar ketulan ais yang ditemui di puncak Gunung Kinabalu sebelum ini namun kali ini tempoh suhu rendah lebih lama."

"Ia berlaku setiap tahun dan peluang itu digunakan pendaki untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan 'hutan ais,'" katanya.

Sejak semalam, gambar tumbuh-tumbuhan yang diseluputi ais dimuat naik individu menggunakan nama Suhaimi Danin di Facebook tular dan mendapat lebih 2 juta perkongsian pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:31 AM