KAMARULAIN bersama anak kesayangannya, Nor Atikah. FOTO ihsan Kamarulain Khosim
Suraya Roslan


“ADIK, pergilah dengan tenang.” Itu kata-kata Kamarulain Khosim, 30, ketika memangku anak tersayang yang tenat selepas bertarung dengan barah otak tahap empat.

Anaknya, Nor Atikah Mohd Anuar yang berusia tujuh bulan disahkan menghidap barah otak dikenali ‘Embryonal Tumour with Multiple Rosettes’ (ETMR) pada 7 November lalu.

Anak bongsu daripada empat beradik itu meninggal dunia pada 22 Januari lalu, jam 3.46 petang ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Sri Damansara ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selepas Nor Atikah meninggal, setiap hari Kamarulain mengunjungi pusara anaknya bagi melepaskan kerinduan.

Kamarulain berkata, dia reda untuk ‘melepaskan’ Nor Atikah apabila sudah tidak sanggup lagi melihat penderitaan bayi berkenaan.

“Bayangkan, di usianya masih kecil sudah menjalani empat pembedahan besar, menjalani rawatan kemoterapi intensif selama 24 jam tanpa henti selama empat hari berturut-turut yang mungkin orang dewasa pun tidak dapat tahan.

“Sebelum dia meninggal atas pangkuan saya, saya bisik ke telinga adik untuk ‘pergi’ dengan tenang dan saya sudah halalkan susu saya, selepas tarikan nafas ketiga, adik menghembuskan nafas dan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Katanya, kerinduan terhadap anak tidak dapat dibendung apabila setiap hari, pada jam 8 pagi, dia akan mengunjungi pusara di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara untuk melepaskan kerinduan.

“Walaupun reda dengan pemergian adik, namun kerinduan terhadapnya tidak dapat ditahan menyebabkan saya mengunjungi pusaranya setiap hari,” katanya.

Menceritakan saat akhir anaknya itu, pada jam 3 petang, 22 Januari lalu, dia dapat merasakan kelainan anaknya itu.

“Sebelum itu, adik tidak mahu diganggu dan disentuh. Saya mahu angkat dia untuk mandi pun dia akan menangis menyebabkan saya hanya lap badannya.

“Bagaimanapun, pada hari itu, ibu mentua meminta saya meriba adik yang mungkin mahu meninggal atas pangkuan saya.

“Ketika berada di riba, bahunya sudah jatuh dan terkulai sebelum bergegas membawanya ke hospital. Saya tahu adik sudah mahu pergi meninggalkan saya, saya bisik di telinganya supaya adik pergi dengan tenang,” katanya.

Katanya, anaknya itu disahkan menghidap barah otak ketika berusia tiga bulan apabila muntah tanpa henti.

“Selepas tiga minggu, doktor mengesahkan adik menghidap barah otak dan dirujuk ke Hospital Tunku Azizah serta menjalani empat pembedahan besar.

“Selepas beberapa bulan dirawat, doktor menasihatkan untuk membawa pulang adik ke rumah.

“Doktor juga memberitahu mungkin adik akan meninggal dalam tidur dan saya perlu sentiasa berada di sisinya. Apa pun saya bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana adik sudah lama menderita,” katanya.

Menurutnya, dia akan menyimpan dan tidak akan mencuci baju terakhir anaknya itu yang dipakai sebelum meninggal dunia.

“Ibu sayang adik dan semoga adik tarik ibu dan abah masuk syurga sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 10:00 PM