TERTUDUH OKU penglihatan dibawa ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan amang seksual terhadap anak perempuannya.
BERNAMA

SEORANG pemegang kad orang kurang upaya (OKU) penglihatan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan melakukan amang seksual dan liwat terhadap anak perempuannya berusia 17 tahun di Batu Gajah sejak tahun lalu.

Bapa berusia 43 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa jam 5 petang antara 26 Disember hingga 27 Disember tahun lalu dan antara jam 3 petang hingga jam 3.30 petang pada 7 dan 13 Januari lalu di sebuah rumah di Batu Gajah.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta menjalani pengawasan polis sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Bapa kepada empat anak itu turut didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii jam 5 petang antara 26 Disember hingga 27 Disember lalu, dan jam 3.30 petang pada 7 Januari lalu di tempat sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebat selain menjalani pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Fairuz Rahman.

Terdahulu, Khairul Fairuz meminta mahkamah menawarkan ikat jamin yang rendah ke atas tertuduh yang mengalami masalah penglihatan akibat kemalangan ketika bekerja di sebuah kilang 13 tahun lalu dan kini bergantung kepada bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain mempunyai empat anak masih bersekolah.

Selain itu, Khairul Fairuz juga memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh kerana dua anak perempuannya berusia 13 tahun termasuk mangsa berpindah ke Sarawak bersama ibu mereka.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan dikehendaki melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa dan mana-mana saksi atau jaminan ditarik semula.

Sebutan semula kes ditetapkan 27 Februari depan bagi menunggu laporan perubatan ke atas mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:40 AM