KAKITANGAN hospital di Wuhan melakukan pemeriksaan. AFP
Mohamed Farid Noh


KANAK-KANAK warga China berusia dua tahun yang disyaki dijangkiti koronavirus dan dilarikan ibu bapanya bagi mengelak dikuarantin di Johor Bahru, ditahan semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din, juga mengesahkan laporan polis yang dibuat seorang doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) awal pagi semalam mengenai kejadian itu, yang tular di media sosial malam tadi.

“Ya, malam tadi mereka sudah ditahan semula di lapangan terbang dan diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi tindakan lanjut

“Malam tadi juga kesemua mereka dirujuk ke hospital bagi tindakan lanjut, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, tular di media sosial berhubung laporan polis oleh seorang doktor mengenai seorang kanak-kanak warga China berusia dua tahun yang dibawa keluar oleh ibu bapanya dari sebuah hospital kerajaan di Johor Bahru.

Ia selepas kanak-anak itu diarahkan menjalani kuarantin selepas disyaki mempunyai simptom wabak koronavirus.

Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak itu tidak mahu anak mereka dikuarantin kerana mahu menaiki penerbangan pulang ke China.

Menerusi laporan polis yang tular, kanak-kanak itu mempunyai simptom influenza seperti demam dan batuk dan perlu dikuarantin.

Namun, bapanya terus berdegil walaupun dijelaskan mereka tidak akan dapat melepasi pemeriksaan ketat di lapangan terbang, sebaliknya hanya mahu anaknya dirawat dengan ubat demam dan batuk sahaja.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 January 2020 @ 10:10 AM