ANGGOTA bomba mengangkat mayat Mohamad Zamarul. FOTO Ihsan Bomba
Adnan Ibrahim


KEGEMBIRAAN tiga remaja bermain di sungai dengan menaiki bot fiber berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas terjatuh di Sungai Tembioh dekat Kota Tinggi, semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang itu, mangsa maut ialah Mohamad Zamarul Izwan Zaini, 16, manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Azman Jantan berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihaknya pada 5.21 petang.

Katanya, susulan maklumat itu, sembilan anggota bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan remaja terbabit lemas, manakala dua rakannya berjaya menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa terlebih dahulu ditemui orang awam di lokasi kejadian sebelum anggota Bomba dan Penyelamat membawa mayat itu menggunakan bot ke tebing sungai,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mengikut maklumat yang diberikan, kejadian berlaku selepas bot dinaiki mangsa bersama dua rakannya itu terbalik akibat perlanggaran dengan bot lain sebelum masing-masing terjatuh ke dalam sungai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmond Bajah berkata, pihaknya menerima laporan kejadian 7.45 malam dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.

“Mayat dirujuk ke Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:36 AM