GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Kerajaan China mengesahkan kes jangkitan koronavirus meningkat kepada 2,744 dengan kematian mencecah 80 orang setakat pagi ini.

AFP melaporkan, kerajaan negara terbabit turut menyambung cuti perayaan Tahun Baharu Cina kepada Ahad depan.

Majlis Negeri berkata, langkah terbabit diambil bagi membantu mengelak penularan wabak berkenaan yang semakin meningkat.

“Cuti yang menyaksikan 100 juta orang keluar seluruh negara bagi melawat keluarga sempena perayaan ini akan berakhir pada Khamis minggu ini.

“Namun, kerajaan akan menyambung cuti itu kepada 2 Februari ini,” katanya.

Sementara itu, media tempatan pula melaporkan, lima kes jangkitan terbaharu berlaku di Beijing termasuk dua bayi berusia sembilan bulan serta dua tahun.

Menteri Suruhanjaya Kesihatan China Ma Xiaowei berkata, sebanyak 2,400 katil ditambah di hospital dan lebih 5,000 lagi katil dijangka ditambah dalam masa tiga hari akan datang.

“Seramai 2,300 doktor dan jururawat ketenteraan dihantar ke Wuhan bagi merawat pesakit.

“Memerangi wabak itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia boleh merebak dengan cepat walaupun dalam tempoh inkubasi.

“Malah, ia bertambah kritikal apabila bekalan tidak mencukupi membuatkan pengamal perubatan yang merawat pesakit terpaksa kitar semula topeng muka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 10:12 AM