PENDUDUK sudah beberapa hari berkurung dalam rumah. FOTO ihsan Ima
PENDUDUK sudah beberapa hari berkurung dalam rumah. FOTO ihsan Ima
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


“KETIKA transit di Wuhan, saya dapat merasakan suasana sunyi dan jalan lengang malah semua jalan keluar masuk dikawal tentera.

“Mereka yang berada di Wuhan diarah berkurung dalam rumah dan saya ketika ini berada di Xiangyang dalam daerah Hubei juga tidak keluar sejak beberapa hari lalu kerana bimbang dengan keadaan diri.”

Demikian pengalaman rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Ima berusia 28 tahun mengenai keadaan di Wuhan, China apabila dikenakan perintah berkurung oleh kerajaan republik itu bagi mengelak penyebaran wabak koronavirus baharu.

Ima yang pulang ke kampung halaman suami di Xiangyang untuk meraikan Tahun Baru Cina pada 21 Januari lalu tidak dapat keluar dari negara itu apabila kerajaan menyekat laluan keluar dan masuk darat serta udara.

SUASANA lengang di bandar Wuhan selepas kerajaan memerintahkan arahan berkurung. FOTO ihsan Ima
SUASANA lengang di bandar Wuhan selepas kerajaan memerintahkan arahan berkurung. FOTO ihsan Ima

Ima berkata, ketika ini dia sudah beberapa hari berkurung dalam rumah dan tidak tahu keadaan di luar terutama di bandar Wuhan.

“Kerajaan China mengeluarkan surat pekeliling dari rumah ke rumah tidak menggalakkan kami untuk keluar bagi mengelak penyebaran virus itu.

“Tetapi saudara mara di Wuhan memberitahu mereka dihalang keluar rumah sama sekali ketika ini dan keadaan itu menyebabkan harga barang naik mendadak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ima yang berasal dari Johor Bahru berkata, dia sepatutnya pulang ke Malaysia pada 8 Februari ini.

“Namun dengan perkembangan terkini wabak itu, saya tidak pasti dapat pulang atau tidak pada tarikh itu. Kerajaan China sudah mengeluarkan surat mengarahkan semua berada di dalam rumah saja, mahu keluar pergi kedai pun tidak boleh walaupun ia hanya terletak lebih kurang 200 meter saja.

“Pengangkutan awam lain seperti bas, teksi juga dihalang, jadi saya tidak pasti macam mana keadaan di luar sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai bekalan stok makanan mencukupi atau tidak, Ima memberitahu ia tidak menjadi masalah kerana kebanyakan penduduk sudah membeli stok lebihan sempena musim perayaan.

“Memang sudah beli awal, semua orang di sini pun takut nak keluar, sambutan Tahun Baru Cina pun tidak meriah seperti biasa.

“Kali terakhir saya keluar rumah pada 24 Januari lalu iaitu sehari sebelum perayaan.

“Topeng muka pun sudah habis di sini dan kalau boleh saya mahu pulang segera ke Malaysia berikutan risau keadaan diri,” katanya.

Menurutnya, dia ada perancangan untuk pulang ke Malaysia awal tetapi semua pengangkutan awam ditutup.

“Saya tiada pilihan lain melainkan terpaksa tinggal di sini. Saya pun tidak pasti berapa lama tempoh berkurung, kami diberitahu keadaan menjadi semakin teruk.

“Makin ramai dikhabarkan kena jangkitan dan angka kematian pun meningkat,” katanya.

Ima berkata ketika ini dia mengambil langkah berjaga-jaga dan memeriksa suhu badan setiap hari.

“Kita tidak tahu siapa yang ada membawa virus ini. Paling cepat ia boleh dikesan adalah antara sehari hingga dua hari dan mengalami simptom demam, sakit badan dan selesema.

“Cara terbaik adalah jangan keluar rumah dan memeriksa suhu badan serta pakai topeng muka.

“Ini antara yang saya lakukan di sini dan menjaga diri sebaik-baiknya supaya tidak terkena virus itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:00 PM