MUHAMMAD Farizul (tengah) bergambar dengan Ah Hang (kanan) ketika berkunjung ke rumah terbuka sempena perayaan Tahun Baru Cina. (Gambar kanan) Kambing sumbangan Ah Hang. FOTO ihsan Muhammad Farizal Ahmad
Redzuan Muharam


PERBEZAAN kaum dan agama tidak menghalang kontraktor bangunan dikenali Ah Hang menyumbang kambing ternakannya kepada rakan, Muhammad Farizal Ahmad yang juga pentadbir Maahad Tahfiz Insan Syamil Darul A’la Sungai Kedak Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Kisah itu tular selepas dikongsi sebuah portal dan rata-rata warganet memuji sikap Ah Hang.

Bercerita lanjut, Muhammad Farizal, 39, berkata, dia menerima sumbangan itu ketika berkunjung ke rumah Ah Hang di Kampung Datuk, Kepala Batas, Pulau Pinang sempena perayaan Tahun Baru Cina, 25 Januari lalu.

“Saya sudah lama mengenali Ah Hang dan baru-baru ini, dia mengundang saya ke rumah terbukanya.

“Ketika kunjungan itu, saya sempat meninjau kandang kambingnya dan ada menyatakan hasrat membeli haiwan berkenaan untuk disembelih bagi menjamu pelajar saya jika ada rezeki.

“Tak sangka pula, Ah Hang bermurah hati menyumbang seekor kambing kepada saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, bukan saja dirinya malah 27 pelajarnya turut gembira menerima sumbangan berkenaan.

“Pelajar saya terdiri asnaf, anak yatim dan fakir miskin berumur tujuh hingga 20 tahun.

“Ada antara mereka tidak pernah makan kambing jadi saya lakukan sembelihan pada petang hari sama selepas menerima sumbangan.

“Keesokan harinya, saya jamu mereka (pelajar) dengan hidangan daging kambing berkenaan,” katanya.

Muhammad Farizal berkata, ada warganet mempertikaikan sumbangan diterimanya itu kerana diberi oleh orang bukan Islam.

“Memang ada yang kecam dan segelintir pelajar turut bertanya sama ada mereka boleh memakan daging kambing berkenaan.

“Saya sudah jelaskan kepada mereka malah tiada masalah makan daging itu kerana sembelihan dilakukan mengikut syarak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 9:00 PM