KEADAAN mangsa yang cedera diserang babi tunggal di Kampung Jeniang, petang tadi. FOTO ihsan pembaca
Noorazura Abdul Rahman


TIGA lelaki parah manakala seorang cedera ringan akibat diserang babi tunggal di Kampung Jeniang, Kuala Muda, petang tadi.

Dalam kejadian 3 petang itu, babi mulanya menyerang pekerja kedai makan warga Thailand, Ibrahim Sulong, 31, sehingga parah sebelum menyerang dua beranak yang berada berhampiran.

Difahamkan mangsa kedua, Shariff Yunus, 70-an, ketika itu dikatakan berada di halaman rumahnya sebelum diserang babi berkenaan.

Menurut anak mangsa, Shamsul Shariff, 44, ketika kejadian dia berada di rumahnya sebelum mendengar abangnya Sharin, 50-an, menjerit meminta tolong.

“Rumah saya hanya bersebelahan dengan rumah bapa, apabila sampai saya melihat abang saya sedang bergelut dengan babi berkenaan manakala bapa parah dan dipenuhi darah.

“Ketika itu abang cuba membuka mulut babi yang sedang menggigit tangannya, saya terus mencapai kayu dan memukul babi berkenaan di kepala, selepas dua kali saya pukul, babi itu menyerang saya pula.

“Saya cuba menepis serangan babi terbabit dan ia kemudiannya secara tiba-tiba berhenti menyerang saya dan pergi ke kawasan berlumpur berhampiran rumah bapa dan berkubang di situ,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Shamsul berkata, dia terus menarik bapa dan abangnya masuk ke dalam rumah sebelum menghubungi ambulans.

Katanya, babi jantan itu tidak berganjak dari tempat itu selama setengah jam sebelum orang kampung datang membawa senapang.

“Saya tak boleh bawa bapa dan abang saya ke hospital kerana babi itu seperti menunggu masa untuk menyerang kami kembali, saya menjerit kepada orang kampung supaya tidak datang dekat.

“Apabila ada orang kampung membawa senapang barulah babi itu lari ke dalam hutan berdekatan,” katanya yang cedera ringan di badan dan tangan.

Shamsul berkata, bapa dan abangnya dibawa ambulans ke Hospital Sik dan dia difahamkan mereka sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Saksi kejadian, Amar Safian Ayob, 42, dia dihubungi Shamsul untuk meminta bantuan apabila bapa dan abangnya diserang babi di halaman rumah.

“Ketika itu saya berada di rumah, sebaik saja Shamsul menghubungi saya, saya terus ke lokasi, apabila sampai saya melihat Sharin sedang dirodok oleh babi berkenaan.

“Saya tak boleh buat apa kerana bimbang akan turut diserang, kejadian itu berlaku kira-kira 20 minit sebelum saya melihat Shamsul menarik bapa dan abangnya ke dalam rumah,” katanya yang juga anggota Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) Sik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, operasi memburu babi berkenaan sedang dilakukan.

“Kita masih menjalankan siasatan punca kejadian itu berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 11:40 PM