OMAR berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan maklumat mengenai semua mangsa culik daripada pasukan keselamatan negara jiran. FOTO NSTP
OMAR berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan maklumat mengenai semua mangsa culik daripada pasukan keselamatan negara jiran. FOTO NSTP
Oleh Juwan Riduan


POLIS belum menerima panggilan telefon menuntut bayaran tebusan untuk lima nelayan warga Indonesia diculik kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) di perairan Tambisan, 15 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan maklumat mengenai semua mangsa culik daripada pasukan keselamatan negara jiran.

“Setakat ini, kita belum menerima maklumat permintaan wang tebusan daripada penculik.

“Siasatan terhadap enam suspek yang melakukan penculikan sedang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, semalam.

Omar berkata, pihaknya akan melakukan tindakan selaras kehendak undang-undang dan penugasan polis bagi menjalankan operasi untuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan pantai timur Sabah khususnya berhampiran sempadan negara jiran.

“Kami laksanakan sejak dulu hingga kini dan seperti dimaklumkan sebelum ini usaha mengekang dan menggagalkan cubaan culik giat dilakukan.

“Seperti yang tersiar dalam akhbar baru-baru ini, 40 percubaan culik sejak 2018 dikekang melalui usaha pencegahan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi keselamatan lain.

“Ini usaha menjaga keselamatan perairan negara khususnya di pantai timur Sabah daripada diceroboh penjenayah untuk melakukan penculikan,” katanya.

Terdahulu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali mengesahkan pihaknya menerima laporan kapal nelayan hilang pada 1 tengah hari, 16 Januari lalu sebelum menggerakkan aset laut dan udara untuk mengesan semua mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku pada 15 Januari lalu, namun dilaporkan diterima pada keesokannya dengan kelima-lima mangsa dipercayai dibawa lari ke perairan selatan Filipina oleh sekumpulan enam suspek bersenjata.

Kapal nelayan itu berdaftar di Sandakan ditemui di perairan Tangusu Bay iaitu lokasi berhampiran kes penculikan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 6:01 AM