GIMIK persembahan Aina Abdul. FOTO Eizairi Shamsudin
GIMIK persembahan Aina Abdul. FOTO Eizairi Shamsudin
Najiy Jefri


PENYANYI, Aina Abdul menjelaskan gimik persembahan yang diterjemahkan dalam lagu Sumpah pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) adalah kesinambungan daripada muzik video lagu itu.

Aina berkata, persembahan itu adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita.

“Persembahan tadi adalah simbolik kepada hancurnya hati seorang wanita kerana menyesal dengan perbuatannya sendiri terhadap orang yang amat disayanginya.

“Hati yang berdarah melambangkan kesakitan yang ditanggung wanita itu selepas melukakan hati insan yang disayanginya. Saya berharap anda semua terhibur dan dapat merasakan apa yang cuba disampaikan,” katanya.

Menurut Aina, dia bersyukur apabila impian untuk berada di pentas berprestij itu menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah. Selesai sudah persembahan di pentas AJL34 yang selama ini saya idamkan.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk berada di pentas berprestij ini,” katanya.

Menerusi persembahan Aina sebentar tadi, penyanyi itu berpakaian serba putih dan dilihat menikam dadanya sehingga darah keluar membasahi pakaiannya.

Kreativiti dan gimik persembahan yang dibuat Aina itu mendapat maklum balas yang baik dan positif daripada penonton di Stadium Axiata, Bukit Jalil.

Berita berkaitan

Persembahan Aina Abdul keterlaluan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 11:52 PM