ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa. FOTO ihsan pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“KETIKA kejadian saya baru sampai dan saya tidak tahu mereka sebenarnya sedang bergaduh," kata Imran, 40, saksi kejadian pergaduhan membabitkan dua pemandu teksi di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa yang berusia 61 tahun maut selepas dipercayai dipukul rakannya akibat tidak puas hati apabila salah seorang memotong barisan untuk mengisi gas asli kenderaan (NGV).

Imran berkata, ketika kejadian hanya terdapat dua teksi di pam NGV berkenaan dan tidak pasti punca pergaduhan.

"Berdasarkan perbualan kedua-dua pemandu berkenaan, mereka kenal antara satu sama lain namun saya terkejut apabila berlaku pergaduhan.

"Ketika itu saya baru tiba dan seorang pekerja pam minyak warga Bangladesh sedang menjaga pam berkenaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 11.30 pagi.

Beliau berkata, mayat warga tempatan yang bekerja sebagai pemandu teksi itu ditemui terbaring di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa bergelut dengan seorang lagi pemandu teksi berusia 65 tahun," katanya hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz untuk proses bedah siasat.

"Suspek yang berusia 65 tahun dibawa ke Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut. Polis juga akan melakukan rakaman awal percakapan saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 4:58 PM
Digital NSTP Subscribe