KEADAAN kereta Perodua Viva milik Rajes selepas diserang tiga orang lelaki. FOTO Ihsan Polis.
Adnan Ibrahim


GURU lelaki parah diserang tiga lelaki tidak dikenali di depan rumahnya di Taman Sri Impian, Kluang, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, S Rajes, 37, diserang ketika keluar untuk ke tempat mengajar di sebuah sekolah menengah di Taman Suria dekat Kluang, pada 7.13 pagi.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang kerana mengalami kecederaan parah di kepala, kedua-dua belah tangan dan kaki akibat ditetak menggunakan objek tajam.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menaiki kereta Perodua Myvi putih serta tidak ada mengambil atau merosakkan barang-barang mangsa dan serangan dipercayai bermotifkan dendam.

“Ketiga-tiga suspek memakai topeng muka dan dipercayai menggunakan parang untuk menyerang mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Abduh berkata, pihaknya mendapatkan khidmat Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk membantu siasatan di tempat kejadian.

Katanya, mereka berjaya mengesan dua cap jari selain mengambil sampel darah di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Keadaan mangsa dilaporkan kritikal.

“Orang ramai yang yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 6:03 PM