MARLINAH Abdul Ghani. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

“SEBELUM memancing, arwah ada minta RM1 dan saya berikan duit itu sebelum kawan-kawannya datang untuk bergerak ke lokasi memancing,” kata Marlinah Abdul Ghani, 35, ibu kepada kanak-kanak lemas di tasik dekat Jalan Kunyit di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, malam tadi.

Marlinah berkata, anak keempat daripada enam adik beradik, Muhammad Haziq Nor Kamal, 10, adalah anak baik dan aktif bersukan serta pernah mengikuti aktiviti menyelam ketika bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ngee Heng sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Majidee Baru.

Katanya, Muhammad Haziq memang akan meminta kebenaran daripadanya untuk memancing bersama rakan dan akan pulang ke rumah selepas itu.

“Saya sangat sedih kerana arwah anak yang baik. Semalam sebelum dia pergi memancing, dia hanya minta RM1 dan saya memberinya sebelum dia bersama rakan lain bergerak ke lokasi memancing.

“Saya tahu arwah lemas selepas diberitahu anak sulong yang mendapat tahu berita itu daripada kawan arwah yang selamat, Mohd Faiz Haikal Abdullah, 13.

“Saya terima ujian ini dan jenazah anak saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Sementara itu, Moatir Sharkinan, 63, iaitu datuk kepada seorng lagi mangsa lemas, Faris Farhan Mohd Sani, 14, menyifatkan kehilangan cucunya itu sangat dirasai kerana hubungan mereka rapat dan arwah juga sering ke rumahnya yang terletak bersebelahan.

Katanya hampir setiap hari, arwah akan datang menziarahinya yang tinggal seorang selepas kematian isteri dua tahun lalu.

“Saya memang rasa sebak dan sering teringat arwah. Dia punya baik tu lain sebab kalau kita marah atau tegur memang dia memang tidak pernah melawan, dia diam je.

“Biasa memang arwah pergi memancing tapi tak tahu petang semalam dia boleh hendak mandi di tasik itu pula. Biasa balik daripada memancing baju memang tidak basah tapi kali ini dengan baju sekali hilang dalam tasik.

“Paling saya terasa, dua hari lepas arwah tanya saya: ‘Atok ada duit tak? Saya hendak beli buku rujukan.’

“Saya beri RM15 sebab arwah memang hendak belajar dan arwah juga Ketua Pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail,“ katanya.

Moatir memaklumkan jenazah cucunya akan disemadikan Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh.

Manakala jenazah seorang lagi mangsa lemas, Muhammad Rozie Iskandar Shah Abdullah, 11, akan dikebumikan di kampung halaman bapanya, di Perak.

Berita berkaitan:

  • Tiga lemas di tasik
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 12:13 PM