Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DUA pekerja binaan warga Bangladesh yang terperangkap dalam kejadian runtuhan struktur kondominium yang dalam pembinaan di Taman Desa, Kuala Lumpur petang hari ini berjaya diselamatkan.

Jabatan bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menerima panggilan kecemasan pada 3.47 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian berjaya membawa keluar mangsa pertama berusia 30 tahun pada 5.15 petang.

Mangsa kedua berusia 26 tahun pula berjaya diselamatkan pada 9.40 malam selepas terperangkap lebih lima jam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, kedua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Alhamdulillah, tugas utama kita untuk menyelamatkan mangsa hari ini sudah selesai. Selepas ini kita akan teruskan siasatan untuk ketahui punca kejadian dan sebagainya.

"Projek ini akan dihentikan selama sebulan bagi menunggu keputusan siasatan Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerja (JKKP) berhubung struktur bangunan berkenaan," katanya.

Zuraida ketika sidang media selepas melawat lokasi runtuhan kondominium dalam pembinaan di Taman Desa, Kuala Lumpur hari ini. Foto Aswadi Alias

Zuraida berkata, pihaknya juga akan merujuk Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung projek yang sedang berjalan itu.

"Esok saya akan rujuk perkara ini dengan Menteri Wilayah dan Jabatan Perumahan Negara, JKKP juga sudah ambil bukti awal dan mereka akan jalankan siasatan terhadap kejadian hari ini.

"Kalau sudah dapat laporan sudah tentu kita akan pastikan projek ini akan diambil tindakan tetapi ia bergantung kepada laporan," katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] JBPM tunggu maklum balas JKKP [METROTV]

Seorang lagi mangsa masih terperangkap [METROTV]

[UPDATE] Unit K9 kesan mangsa terperangkap

Struktur kondominium dalam pembinaan runtuh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 10:38 PM