KUALA LUMPUR 13 FEBRUARI 2020. Artis, Sherry Alhadad pada Mek Kembang Fashion Show 2020 di Forest Valley Hall. NSTP/ASWADI ALIAS.
Syafil Syazwan Jefri


“PELAWAK sebenarnya adalah seniman yang menangis,”.

Itu kata-kata pelakon dan pengacara popular Sherry Alhadad apabila diminta berkongsi mengenai kisah pemergian pelawak popular Allahyarham Abam Bocey, Isnin lalu.

Sherry berkata, pemergian Abam satu kehilangan besar kerana impak komedinya sentiasa tersemat di hati ramai orang.

“Pemergiannya secara tiba-tiba. Itulah yang dikatakan ajal maut di tangan Allah. Tidak akan awal sesaat atau lewat sesaat.

“Saya bukanlah pelawak yang kerjaya hakikinya dalam bidang komedi secara keseluruhan. Walaupun sering bekerjasama dengan mereka, mungkin kedekatan saya dengan arwah tidak seerat mereka yang sudah umpama keluarganya.

“Apabila Abam meninggal dunia, bukan saja kita yang berada di dalam industri hiburan terasa kehilangannya, malah seluruh negara turut terasa sehinggakan ada yang menitip mesej di Instagram saya menyatakan rasa tak percaya mereka dengan berita itu,” katanya.

Menurut Sherry, impak komedi yang dibawakan Abam setiap kali beraksi di pentas komedi sangat kuat.

“Seperti yang saya katakan, pelawak adalah seniman yang menangis. Mereka cuba untuk sajikan komedi dan jenaka untuk menghiburkan orang. Tapi, mereka juga sering diperlekehkan oleh orang-orang tertentu. Namun, sekarang terbukti bahawa semua orang sayangkan Abam,” katanya.

SHERRY Alhadad

Menyambung perbualan mengenai pemergian Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, Sherry meluahkan rasa simpatinya kepada dua rakannya yang juga anggota kumpulan Bocey iaitu Fad dan Achey.

“Saya turut bersimpati dengan Achey dan Fad kerana mereka umpama kehilangan tulang belakang untuk kumpulan itu. Apa pun, Allah lebih sayangkan Abam dan kita doakan yang terbaik.

“Kedua-dua mungkin masih lagi melunaskan tugas Abam dan kita semua sebagai masyarakat sentiasa mendoakan dan mengingati Abam dalam hidup kita,” katanya.

Menyentuh isu yang melanda pelawak Ilya Buang baru-baru ini, Sherry juga berkongsi pendapatnya mengenai kandungan lawak yang sensitif dan sesuai untuk dipersembahkan di TV.

“Komedi itu sendiri terbahagi kepada beberapa bahagian. Kebanyakannya yang dipersembahkan dalam bentuk drama dan teater adalah apa yang berlaku di persekitaran. Kebanyakannya juga menggambarkan situasi sosioekonomi dan masyarakat pada ketika itu.

“Ada juga kebanyakannya menggunakan elemen politik sebagai elemen dalam komedi kerana ia adalah ‘ratio’ paling besar dalam sesebuah negara. Namun, satira atau ‘black comedy’ ini kebanyakannya dipersembahkan secara ‘underground’,” katanya.

Katanya, dia sendiri secara peribadi sentiasa menitikberatkan beberapa elemen penting sebelum tampil di kaca TV.

“Dalam TV, ada benda yang boleh dan tidak boleh. Dalam kata lain, disekat. Ketika saya mula masuk ke dalam dunia hiburan, ramai yang berpesan kepada saya supaya elakkan menyentuh hal politik, agama dan apa-apa yang sensitif.

“Jadi, setiap kali saya nak persembahkan sesuatu yang berunsur jenaka, saya akan fikirkan dulu kata-kata yang sesuai digunakan kerana kita nak hidup dalam situasi harmoni.

“Sebenarnya, sampai ke hari ini pun masih ada lagi yang membuat komedi berdasarkan masalah sosial dan sebagainya. Kadang-kadang, kita tak bermaksud apa-apa pun ketika berlawak, namun akan ada masyarakat yang terus membuat andaian sendiri dan mengaitkannya dengan perkara yang berunsur politik dan sebagainya,” katanya.

SHERRY titik berat beberapa perkara penting sebelum tampil di kaca tv.

Sherry juga mengajak semua orang untuk mencuba pelbagai perkara baru dan menjadi seorang yang ‘versatile’.

“Jika diikutkan, apabila kita berada dalam industri hiburan, kita kena belajar banyak benda baru. Tak semestinya kita hanya perlu pakar dalam satu bidang saja.

“Saya beri contoh, kalau saya boleh berlakon dan mengacara, tapi untuk nyanyian bukanlah dalam kepakaran saya. Jadi, saya tahu mana yang saya lebih arif dan cabang seni mana yang saya kurang arif.

“Itu akan jadikan kita seorang yang ‘versatile’ dan tak hanya tersekat dalam satu cabang seni saja. Lihat saja Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Dia adalah contoh anak seni yang serba boleh,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya lakonan, Sherry memaklumkan dia sendiri belum melihat apa-apa perancangan dalam bidang itu dalam masa terdekat.

“Mungkin akan ada lagi karya-karya membabitkan lakonan untuk saya. Namun, buat masa sekarang fokus saya adalah kepada pengacaraan,” katanya.

Apa yang pasti, Sherry akan terus menyinar dalam apa jua cabang seni yang disertainya dengan disiplin dan sikapnya yang sentiasa menyenangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:01 AM