SUHU badan pemandu dan penumpang kenderaan diperiksa di susur keluar lebuh raya di wilayah Zhangjiakou, China bagi mengawal penularan wabak Covid-19.
BERNAMA

KERAJAAN Malaysia dilihat berkesan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berharap usaha itu dengan kerjasama pelbagai pihak diteruskan bagi melindungi rakyat Malaysia daripada dijangkiti.

“Kita berjaga-jaga dari awal dengan memeriksa pelancong ke Malaysia terutama dari China. Jika disyaki pembawa virus mereka dikuarantin 14 hari.

“Rakyat kita di Wuhan yang dibawa pulang juga dikuarantin 14 hari. Dengan cara ini, kita bernasib baik apabila hanya 19 kes direkodkan dan kebanyakannya rakyat China,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah Fasa 2: Villa Sirehan dan melawat tapak projek 1: Rebungan Resort Langkawi di Ulu Melaka di sini, semalam.

PASUKAN perubatan membuat persiapan sebelum memeriksa pesakit di wilayah Zhangjiakou, China.

Mengulas perbualan telefon dengan Presiden China Xi Jinping berhubung wabak itu semalam, Dr Mahathir berkata, beliau melahirkan rasa simpati dan menyifatkan China mengambil tindakan luar biasa menangani wabak itu.

“Kita juga berterima kasih kerana jelas sekali presiden China mengambil berat isu ini dan mengambil tindakan luar biasa membanteras penularan penyakit.

“Saya fikir dia (kerajaan China) buat apa sahaja yang mungkin dilakukan dan kita berterima kasih kerana dia tolong (Malaysia) bawa balik rakyat kita di sana,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 7:00 AM