Siti Rohana Idris


“MINGGU lalu, Mohamad Faiz bawa saya dan suami semak wang simpanannya di pejabat pos. Dia maklumkan akan menggunakannya untuk membina rumah di sini namun hasrat itu tidak kesampaian.”

Demikian luah Che Senah Che Awang, 62, ibu kepada mangsa kemalangan maut, Mohamad Faiz Bukhari, 28, di Sungai Siput, Perak malam kelmarin.

Che Senah berkata, Mohamad Faiz yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput dan berpangkat lans koperal menyuarakan hasrat itu ketika pulang bercuti ke kampung halamannya di Kampung Jambu di sini minggu lalu.

JENAZAH Mohamad Faiz, isteri dan anak mereka dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu Panji, semalam.

Malah, Mohamad Faiz sudah pun menanda tapak tanah yang diinginkannya.

“Dalam perjalanan ke pejabat pos, dia memberitahu saya dan suami akan hasratnya itu dan apabila saya bertanya bila dia mahu membina rumah, dia jawab tidak pasti lagi kerana simpanan belum mencukupi.

“Dia beriya-iya menanda tapak tanah di depan rumah saya sambil berseloroh mengingatkan lapan adik beradiknya yang lain supaya tidak mengambil tapak (tanah) itu,” katanya ditemui di rumahnya semalam.

INFOGRAFIK

Menurut Che Senah, suaminya, Bukhari Rejab, 65, menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan anak mereka, menantu serta cucu terbabit kemalangan jam 12.15 malam semalam.

“Sebaik suami beritahu Mohamad Faiz sudah tiada, saya hilang pertimbangan dan meraung sebelum ditenangkan keluarga.

“Selepas dimaklumkan menantu dan seorang cucu turut meninggal dunia, perasaan saya bertambah tidak keruan, malah saya mahu segera ke hospital di Perak namun dihalang keluarga yang meminta saya menunggu jenazah di rumah,” katanya.

Menurut Che Senah, Mohamad Faiz yang juga anak keenam daripada sembilan beradik itu pendiam, suka bersedekah dan disenangi rakan, malah menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik.

TRELER yang terbabit dalam nahas, kelmarin.

Katanya, Mohamad Faiz juga memintanya menyediakan beberapa jenis masakan ketika pulang bercuti baru-baru ini dan terkilan tidak dapat memasak ayam percik seperti yang dimahukan.

“Memandangkan masa terhad, saya hanya sempat masak gulai kerangka ayam saja selain ikan yang diperap garam kunyit yang dibawa pulang untuk bekalan ke Sungai Siput,” katanya.

Turut terkorban isteri Mohamad Faiz, Nik Idayu Nik Hassan, 30, anak bongsu mereka, Mohammad Faqih Irshad, 2, dan adik ipar Nik Ifieka, 28. Anak sulung pasangan itu, Mohammad Fariz Iskandar, 3, parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

KERETA milik Mohamad Faiz remuk teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 7:10 AM