EZUMI (tengah) bersama ahli keluarga besarnya di rumah mereka di Ukay Perdana. FOTO Asyraf Hamzah
EZUMI (tengah) bersama ahli keluarga besarnya di rumah mereka di Ukay Perdana. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri

KERAP didedahkan kerjaya ibu bapa mereka, empat beradik ini mengambil keputusan mengikut jejak langkah memilih bidang profesional arkitek.

Malah, inspirasi daripada kejayaan bapa dan ibu mereka yang menceburi bidang seni bina membakar lagi semangat anak-anak ini untuk berjaya dalam bidang masing-masing.

Mereka adalah Najwa Harzani Ezumi, 25, Adam Harzani Ezumi, 23, Marha Irdina Izzudin, 23 dan Syaza Harzani Ezumi, 21.

Adam berkata, minat mendalami bidang ini timbul sejak kecil apabila suka melihat bangunan pencakar langit yang mempunyai rekaan unik.

“Kakak sulung saya (Najwa) juga antara pencetus minat saya untuk mendalami bidang seni bina kerana dia kerap membawa saya ke pameran yang berkaitan dan menunjukkan hasil kerjanya.

“Saya masih ingat ketika dia membawa saya ke pertandingan seni bina yang mengumpulkan semua peserta dari seluruh universiti di Malaysia. Bila saya tengok sangat menarik sebab dapat berkumpul ramai-ramai dan masing-masing menunjukkan hasil rekaan mereka.

“Dari situ minat saya bermula dan bila saya masuk diploma rupanya banyak lagi yang saya minat walaupun pada awalnya saya tidak berapa pandai melukis.

ADAM. FOTO Asyraf Hamzah
ADAM. FOTO Asyraf Hamzah

“Namun saya banyak praktis dengan ayah sampai lukisan banyak kemajuan, sehingga ramai pelajar lain merujuk pada saya,” katanya yang kini menuntut dalam jurusan Seni Bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.

Sebagai pendorong utama dan contoh kepada adik-beradiknya, Najwa kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana jurusan Seni Bina di Oxford Brookes University, Oxford United Kingdom (UK).

Dia sebelum ini bekerja di firma arkitek terkemuka di Malaysia, RSP Architects dan menerima galakan rakan sekerja menyambung pengajian bagi mengembangkan bakat dalam bidang seni bina.

Menerima pendedahan paling awal ayahnya, Najwa, anak sulung dalam keluarga itu sejak kecil sering dibawa ke seminar dan kursus termasuk ke tapak pembinaan bagi memberi gambaran sebenar bidang kerjaya arkitek.

NAJWA (kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya. FOTO Ihsan Ezumi
NAJWA (kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya. FOTO Ihsan Ezumi

Sementara itu, bagi Syaza, minatnya timbul disebabkan pengaruh kakak sulungnya yang sering membawa pulang model rumah mini.

“Sebenarnya, dari usia muda lagi saya suka dengan fesyen dan dulu saya suka cari lebihan kain lalu saya potong buat dekorasi.

“Tapi apabila kakak selalu bawa pulang model rumah saiz kecil dan barang kerjanya yang unik, daripada situ saya lagi rasa nak ceburi seni bina,” katanya yang bercita-cita mengikuti jejak langkah ibu bapanya untuk menjadi arkitek.

Syaza sekarang masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor dalam jurusan seni bina (ijazah).

SYAZA. FOTO Asyraf Hamzah
SYAZA. FOTO Asyraf Hamzah

Berlainan bagi Marha, minat mendalamnya dalam rekaan dalaman (ID) tidak menghalangnya belajar bidang seni bina.

“Sampai sekarang saya minat ID, tetapi atas nasihat ayah, saya sambung pengajian ijazah seni bina kerana seni bina ini ibarat ‘ibu’ kepada ID.

“Sebab jika saya hanya ambil jurusan ID saya tak boleh buat kerja arkitek, tetapi jika saya jadi arkitek saya masih boleh buat ID dan dari situ saya mula minat seni bina,” katanya yang sudah menamatkan pengajian di UiTM Sarawak dan bekerja secara freelance.

MARHA. FOTO Asyraf Hamzah
MARHA. FOTO Asyraf Hamzah

Sentiasa sokong minat anak

Memberi kebebasan dan tidak pernah memaksa anak-anak untuk mengikut jejaknya sebagai arkitek, Datuk Ar Ezumi Harzani Ismail, 50, sentiasa menyokong minat mereka.

Memulakan kerjaya arkitek pada 1997 bersama firma Arkitek MAA Sdn Bhd sehingga sekarang dengan jawatan sebagai Pengarah dan rakan kongsi di firma berkenaan.

Bapa kepada 10 orang anak ini, percaya dorongan serta sokongan daripada orang tua adalah sumber utama untuk anak-anak berjaya.

“Selain empat orang anak saya ini, ada dua lagi anak saya berusia 17 dan lapan tahun menunjukkan minat untuk mengikut langkah kakak dan abang mereka dalam bidang seni bina.

“Mereka pilih sendiri bidang kerjaya yang nak diceburi, kalau ikutkan isteri, dia sarankan anak sulung ambil bidang perubatan menjadi doktor.

“Tapi bagi saya yang pentingnya perlu ada anak yang buat bidang seni bina, kalau tak semua usaha yang saya buat selama ni saya nak bagi pada siapa lagi kalau bukan anak-anak.

“Namun saya beri mereka kebebasan memilih sendiri, tetapi sudah pasti secara sikit-sikit saya cuba pengaruhi mereka dengan cara membawa mereka ke seminar seni bina, kursus dan ke tapak pembinaan,” katanya yang turut mengambil pendekatan bercerita perkara menarik mengenai kerjaya arkitek kepada keluarga sewaktu berkumpul bersama.

EZUMI (tiga kanan) bersama isteri dan anak. FOTO Asyraf Hamzah
EZUMI (tiga kanan) bersama isteri dan anak. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau yang mempunyai dua isteri, Datin Hasmanira Mokhtar, 50, yang juga seorang arkitek dan Mazmiha Mohamed, 47, (jurutera) tidak pernah membatasi minat anak.

Ditanya mengenai masa depan anak yang memilih kerjaya arkitek, Ezumi berkata, mereka pada awalnya risau dan terfikir adakah prospek kerjaya dalam bidang seni bina ini.

“Kalau kita lihat kebanyakan kajian dibuat di seluruh dunia, banyak bidang yang menggunakan teknologi namun bagi saya bidang seni bina ini kita tidak boleh bergantung pada teknologi sepenuhnya.

“Mungkin sekarang dah ada teknologi contohnya ialah sistem untuk mereka bentuk bangunan guna komputer, tapi input dari segi kreativiti itu mesti kena ada input dari pereka iaitu arkitek.

“Selagi manusia di dalam dunia ini menghargai seni atau sesuatu reka bentuk itu, selagi itu artis atau artiktek diperlukan.

“Jadi saya selalu cakap kepada anak, kita perlu jadi kreatif dalam reka bentuk bangunan dalam apa sekali pun, kita kena ada design thinking,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 10:00 AM
Digital NSTP Subscribe