KENDERAAN dipandu mangsa rentung. FOTO ihsan IPD Kuala Langat
KENDERAAN dipandu mangsa rentung. FOTO ihsan IPD Kuala Langat
Amir Abd Hamid


IDENTITI seorang mangsa rentung dan tiga cedera dalam kemalangan di Kilometer 19.5 Lebuhraya Elite-Cyberjaya, awal pagi tadi disahkan sebagai pelajar Akademi Laut Malaysia (Alam) Melaka.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman berkata, mangsa yang maut adalah pemandu, Viviana Eija Moola, 19, berasal dari Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, mangsa itu meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian jam 3.10 pagi, pelajar itu dalam perjalanan ke Melaka dari Laman Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Tiba di Kilometer 19.5 Lebuhraya ELITE, kereta dipandu Viviana Eija hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelum kenderaan itu terlanggar pokok dan terbakar.

“Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

KETUA Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman. FOTO arkib NSTP

Beliau berkata, keluarga mangsa dijangka tiba dari Sarawak petang ini untuk proses menuntut mayat.

Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya bagi menerima rawatan selanjutnya.

Mengulas lanjut, katanya, mereka yang cedera ialah Zulfadhli Zaid Azwan, 19, mengalami retak di kepala; Muhammad Afiq Aiman Sulaiman, 20, mengalami pendarahan di kepala manakala Ghazali Shamsudin, 20, luka di kening dan lebam di mata kanan.

“Semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Putrajaya bagi menerima rawatan selanjutnya,” katanya.

Azizan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Buat masa ini usaha mengesan saksi masih dijalankan,” katanya.

Terdahulu portal Harian Metro pagi tadi melaporkan seorang rentung, tiga cedera apabila sebuah MPV terbabas dan terbakar di Kilometer 19.5, Lebuhraya Elite-Cyberjaya, awal pagi hari ini.

Berita berkaitan

Satu rentung, tiga cedera MPV terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 3:01 PM
Digital NSTP Subscribe