X
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA warga emas rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat, Kangar, hari ini.

Mayat mangsa, Siti Aishah Saad, 85, ditemui di ruang tamu dipercayai akibat gagal keluar dari rumah berikutan pintu jeriji yang berkunci dalam kejadian pada 12.20 tengah hari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.29 tengah hari sebelum seramai 20 anggota dan enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kangar, BBP Simpang Ampat dan BBP Kuala Perlis dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan dua rumah musnah, manakala dua kereta dan sebuah motosikal turut hangus.

ANGGOTA polis memasukkan mayat Siti Aishah Saad, 85 yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat, Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ANGGOTA polis memasukkan mayat Siti Aishah Saad, 85 yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Batas Lintang, Simpang Empat, Kangar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

“Mayat mangsa ditemui terlentang di ruang tamu rumahnya selepas gagal keluar ketika kebakaran berlaku.

“Ketika kejadian mangsa yang uzur dipercayai tinggal bersendirian kerana anak perempuan dan menantunya tiada di rumah,” katanya.

Katanya, setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia tiada di rumahnya yang terletak bersebelahan rumah ibunya kerana pergi ke kedai.

“Ibu tinggal bersama kakak dan abang ipar, dan ketika itu abang ipar keluar ke tempat kerja, manakala kakak ke kedai.

“Saya yang baru sampai ke rumah mendapati ibu terperangkap dan api marak begitu cepat sehingga gagal menyelamatkan ibu,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 3:46 PM