MOHD Zulkifle mampu menaip menggunakan komputer seperti orang yang normal. FOTO BERNAMA
MOHD Zulkifle mampu menaip menggunakan komputer seperti orang yang normal. FOTO BERNAMA
BERNAMA

DILAHIRKAN tanpa kedua-dua tangan bukan halangan buat Mohd Zulkifle Nordin, 24, untuk menjalani aktiviti seharian termasuk makan, menulis malah menaip menggunakan komputer seperti orang yang normal sifatnya hanya menggunakan 10 jari kaki.

Pemilik ijazah dalam bidang hartanah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu kini bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat (ICT) di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh di Bandar Chiku, Gua Musang, sejak Januari lalu, empat bulan selepas menamatkan pengajian.

Anak ketujuh daripada lapan beradik dari Rancangan Tanah Felda Aring 1 itu berkata, walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) dia mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik dan sempurna sama seperti petugas lain yang normal.

“Sejak kecil dan belajar di tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Aring saya sudah dilatih menulis, mengira dan melukis menggunakan kaki dan apabila melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi, semua kerja dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah,” katanya di tempat kerjanya di sini, semalam.

MOHD Zulkifle mampu menulis menggunakan kaki di pejabatnya di Bandar Chiku. FOTO BERNAMA
MOHD Zulkifle mampu menulis menggunakan kaki di pejabatnya di Bandar Chiku. FOTO BERNAMA

“Walaupun saya memiliki ijazah dalam bidang hartanah namun apabila saya diberi peluang bekerja sebagai Pengurus ICT, Alhamdulillah saya dapat laksanakan seperti kawan lain,” katanya.

Mengimbau zaman kecilnya, Mohd Zulkifle berkata ramai yang berusaha mendapatkan tangan palsu untuknya, tetapi selepas beberapa kali menemui doktor pakar, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana kecacatannya tidak sama seperti orang lain.

MENYUAP makanan menggunakan kaki. FOTO BERNAMA
MENYUAP makanan menggunakan kaki. FOTO BERNAMA

“Saya tidak pernah menyimpan rasa kesal dilahirkan tanpa kedua-dua tangan kerana semua itu rahsia Allah dan siapa saya untuk mempertikaikan kejadian-Nya. Saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan saya dengan kesihatan yang baik dan boleh melakukan kerja untuk mencari rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:30 AM