GAMBAR Hiasan. FOTO Bernama.
GAMBAR Hiasan. FOTO Bernama.
Suraya Roslan


MALAYSIA menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari Korea Selatan termasuk warga asing pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke negara ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan di Twitter rasmi mereka memaklumkan, sekatan itu meliputi pelawat yang melakukan transit melalui Malaysia.

“Rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di bandar Daegu dan daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia perlu menjalani saringan kesihatan oleh KKM.

“Bagi meningkatkan kawalan di Pintu Masuk Antarabangsa negara, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan turut menyediakan kaunter khas untuk pelawat dari Korea, Jepun, Itali dan Iran,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurutnya, KKM terus memantau secara rapi perkembangan jangkitan Covid-19 di Korea, Jepun, Itali dan Iran serta negara lain yang turut melaporkan kes berkenaan.

“Buat masa ini rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19 di China dan Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

“Langkah ini berkuatkuasa serta-merta. Pihak berkuasa Malaysia akan membuat penilaian berterusan dalam usaha mengawal dan menghapuskan wabak Covid-19 dan langkah ini akan dibatalkan sekiranya keadaan kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat dua kes baharu dilaporkan hari ini membabitkan kes ke-24 iaitu seorang wanita berusia 41 tahun warga Jepun yang bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada Januari dan Indonesia pada awal Februari.

“Pesakit mempunyai gejala demam dan mendapat rawatan pada 17 Februari lalu dan dimasukkan ke hospital swasta pada 20 Februari lalu.

“Ujian pengesanan Covid-19 diambil sebelum disahkan positif, semalam dan dia kini dirawat di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Seorang lagi membabitkan lelaki berusia 54 tahun warga Itali yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan menetap di Malaysia mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 hingga 21 Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mula mengalami gejala demam, batuk, sakit sendi dan sakit badan pada 22 Februari sebelum disahkan positif pada 28 Februari dan kini dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 4:13 PM
    Digital NSTP Subscribe