AHLI keluarga mangsa kemalangan pasangan suami isteri tidak dapat menahan sedih ketika menunggu proses bedah siasat di Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
AHLI keluarga mangsa kemalangan pasangan suami isteri tidak dapat menahan sedih ketika menunggu proses bedah siasat di Hospital Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


“KETIKA di tempat kerja di Seremban, arwah ibu sempat menelefon saya dan bertanya khabar sebelum talian terputus.

“Tidak sangka itu panggilan terakhir arwah ibu,” kata Nur Farah Diana Md Jantan, 23.

Ibu Nur Farah Diana, Hasemah Hashim, 60, terbunuh dalam kemalangan membabitkan lori dan treler di Kilometer 10 Jalan Bahau-Rompin, 11.25 pagi hari ini.

Bapanya, Md Jantan Samsuddin, 65, yang memandu lori dan pemandu treler, Mohd Hafizie Mohd Sabru, 32, turut maut dalam kemalangan itu.

Nur Farah Diana berkata, kali terakhir dia bertemu ibu dan bapanya, pada Rabu lalu ketika pulang bercuti ke kampung di FELDA Raja Alias di Jempol.

HASEMAH. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
HASEMAH. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Katanya, ketika bertemu kedua-dua orang tuanya itu, tidak ada perubahan ketara pada mereka, namun arwah ibunya berpesan supaya dia kerap menghubunginya.

“Saya tidak sangka sama sekali, panggilan beberapa saat sebelum kemalangan itu adalah panggilan terakhir arwah ibu,” katanya ditemui di unit forensik Hospital Jempol, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua orang tuanya hanya tinggal berdua di kampung, justeru ibunya kerap mengikut bapanya yang sudah 30 tahun menjadi pemandu lori menghantar kayu getah ke kilang berhampiran.

Anak sulung kedua-dua arwah, Samsul Amri, 35, berkata ketika kemalangan, arwah bapanya dalam perjalanan menghantar kayu getah ke kilang di Gemas.

Samsul yang juga pemandu lori di Krubong, Melaka berkata, pada mulanya, dia melihat satu gambar kemalangan di kumpulan WhatsApp, namun tidak mengesyaki ia membabitkan lori dipandu arwah bapanya.

Katanya, sebaik pulang ke rumah pada 12.30 tengah hari, isterinya memberitahu kemalangan itu membabitkan bapa dan ibunya sebelum terus bergegas ke Hospital Jempol.

MD Jantan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MD Jantan. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

“Ayah dan ibu sangat penyayang serta baik terhadap anak, begitu juga dengan cucunya.

“Walaupun sedih, saya reda dengan kehilangan ini dan berdoa semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila treler dipandu Mohd Hafizie dari arah Rompin menuju Bahau hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

MOHD Hafizie. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MOHD Hafizie. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap

Katanya, insiden itu menyebabkan lori dipandu Md Jantan dari arah Bahau menuju Rompin bertembung dengan treler berkenaan.

“Semua mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat,” katanya sambil menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

2 lelaki, 1 wanita maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 5:38 PM
Digital NSTP Subscribe