YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO BERNAMA
Mahaizura Abd Malik dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah masih belum memperoleh keyakinan terhadap Ahli Parlimen yang layak dilantik menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda berkenan dengan keputusan yang diambil Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin ini.

“Berdasarkan proses temu bual ini, Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

“Baginda akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara yang kita cintai bersama.

“Istana Negara akan berhubung dengan ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka yang mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

AHMAD Fadil.  FOTO BERNAMA
AHMAD Fadil. FOTO BERNAMA

Katanya, Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara serta semua pihak yang terbabit dalam proses temu bual selama dua hari bermula Selasa lalu.

Kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu beberapa jam selepas Speaker Mohamad Ariff Md Yusof, semalam menolak mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin depan, yang dipanggil oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad Ariff berkata, surat pemakluman memanggil mesyuarat itu tidak mengikut peraturan kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

MOHAMAD Ariff. FOTO BERNAMA
MOHAMAD Ariff. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada petangnya pula, menamakan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mewakili parti itu.

Ia mendapatkan sokongan 36 Ahli Parlimen Bersatu termasuk 10 bekas Ahli Parlimen PKR termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menamakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri yang mendapat sokongan lebih 90 anggota Parlimen.

Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, keputusan memanggil ketua parti untuk menamakan calon Perdana Menteri adalah pilihan yang tepat.

Beliau berkata, ini dapat mengelakkan daripada memanggil Dewan Rakyat untuk bersidang selain tidak memerlukan pilihan raya umum diadakan.

“Keputusan ini dijangka dapat menyelesaikan isu pemilihan Perdana Menteri seterusnya menamatkan kemelut politik ini lebih cepat.

“Tindakan ini memberi ruang yang cukup untuk perbincangan dilakukan bagi calon yang sesuai untuk jawatan itu seterusnya dapat membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:30 AM