Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO NSTP
Datuk Takiyuddin Hassan. FOTO NSTP
Suraya Roslan


SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin disokong 114 Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

Menurutnya, Muhyiddin memperoleh sokongan 114 ahli parlimen daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

“114 daripada 222. Itu diberitahu kita dah cross the line, ini bukan minority goverment, ini majoriti government. 114 is majoriti,” katanya ketika ditemui di rumah Muhyiddin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya parti mana memberi sokongan berkenaan, beliau hanya menjawab ringkas, “itu tak dapat jelas yang penting PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sebagai ‘anchor’, PAS, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dalam kejayaan 114,” katanya.

Istana Negara hari ini mengumumkan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Presiden Bersatu itu dilantik segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terjamin.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, majlis perlantikan Ahli Parlimen Pagoh berkenaan akan diadakan esok.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 5:42 PM