ADLY. FOTO Arkib NSTP
ADLY. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengesahkan perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri Melaka sudah ditamatkan sejak 4 petang semalam.

Adly berkata, makluman itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob kepadanya

dengan alasan ia adalah arahan daripada ‘pihak atasan’.

Menurutnya, sejak semalam beliau masih belum ke pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, namun difahamkan barangannya sudah dikemaskan.

“Saya dimaklumkan perkhidmatan saya sebagai Ketua Menteri Melaka ditamatkan 4 petang semalam.

“Saya tidak melepaskan jawatan berkenaan setakat ini dan akan lihat dari sudut Perlembagaan dan undang-undang.

“Namun, terpulang kepada mereka (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk menentukan majoriti siapa yang akan

dipilih sebagai Ketua Menteri,” katanya dalam sidang media yang disiarkan menerusi Facebook (FB) rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Adly mengulangi pendiriannya agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dijalankan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Katanya, adalah tidak adil apabila mandat yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sebelum ini bertukar tangan hanya disebabkan tindakan beberapa ADUN.

“Kerajaan ini tidak boleh ditentukan oleh tiga atau empat orang saja (ADUN). Ini adalah tindakan yang tidak wajar dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

“Saya tahu kuasa mutlak terletak pada Tun Mohd Khalil Yaakob (untuk bubarkan DUN). Peralihan kuasa perlu ikut Perlembagaan dan undang-undang,” katanya yang juga ADUN Bukit Katil.

Sementara itu, Adly memaklumkan PH akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan lebih lanjut tindakan ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dari DAP dan ADUN Rembia, Muhammad Jailani Khamis dari PKR yang menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 4:52 PM