Ridzuan Abdul Rahman


“BERHENTI panggil Safawi bodoh. Anda semua tak tahu seluruh cerita sebenar! Dia bukan saja-saja cakap macam itu! Salah dia cakap begitu, tapi dia ada sebab cakap macam itu dan tambah pula itu adalah perbualan lama,” kata pelakon Syifa Melvin, 26, mempertahankan kekasihnya, Safawi Rasid, 23.

Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, mengeluarkan kenyataan ini di Instastorynya susulan kecaman peminat terhadap bintang bola sepak negara dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sejak kebelakangan ini mengalami kemerosotan prestasi.

Semalam, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Instagram mendakwa kemerosotan mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan tekanan daripada Syifa untuk berkahwin dengan Safawi.

Syifa dengan tegas meminta warganet berhenti melemparkan kata-kata cacian terhadap kekasihnya tanpa usul periksa dan mengenali Safawi sedalamnya.

“Dia muda lagi dan semua orang buat salah! Mengenali hatinya, dia sangat lurus dan baik. Atas tuntutan lain dia terpaksa! Stop this bullsh** la.

“Anda semua bebas untuk maki saya tapi bukan Safawi. Yang cari fasal tu cari fasal dengan aku, jadi aku hadap saja sebab dah lama sangat tak puas hati nampak gayanya. Aku pertahankan dia sebab aku tahu hati budi dia macam mana,” katanya.

Menerusi paparan sama, Syifa turut meminta warganet berhenti daripada berkongsi hantaran berkenaan dirinya menerima hadiah telefon bimbit jenama Iphone Pro Max dan beg tangan jenama Louis Vuitton (LV) daripada pemain terbabit.

“Berhenti la kongsi Iphone Pro Max, LV dan sebagainya, itu pemberian dan hadiah hari jadi.

“Dia beri dengan minta, boleh beza kan? Kalau tak boleh beza, nampak sangat bodoh. Tanya pula Safawi apa dia dapat?

“Tapi dia lelaki, jenis tak tunjuk. Jadi, jangan buat dosa percuma! Tak takut kena koronavirus ke?,” katanya lagi.

Menurut Syifa, daripada menjadi juri, ada baiknya semua pihak memberikan sokongan moral kepada Safawi yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 hari ini.

“Nak dia beraksi terbaik setiap masa, bukan cara ini untuk paksa dia. Anda semua nak dia bersinar kenalah sokong bukan menjatuhkan dia terutama pada hari lahirnya hari ini. What a gift!.

“Kami sentiasa memotivasi antara satu sama lain walaupun berdepan ujian besar bulan lepas tapi kami berjaya uruskan dengan baik. Sebab Allah bersama dengan orang teraniaya dan sabar,” katanya.

Dalam masa sama, Syifa turut merayu semua pihak supaya menghentikan salah faham ini dan membawa semula Safawi ke landasan asal kerana dia juga kini menanggung kehidupan keluarga di kampung.

“Tanggungan dia besar di kampung, jangan buat begini kepada dia. Ingat, dia budak kampung yang ada tanggungjawab besar untuk keluarga.

“Jangan jatuhkan dia dengan benda bodoh dan benda peribadi macam ini. Tiada guna!,” katanya.

Terdahulu Syifa dalam kenyataannya kepada Harian Metro semalam berkata, dia juga percaya apa yang dikatakan Safawi kepada Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor menerusi perbualan WhatsApp adalah ketika mereka mempunyai masalah tahun lalu.

Berita berkaitan

'Bukan mak tak restu, tapi Awi masih muda'

'Saya tak kawal hidup Safawi'

Mora teruja, puas hati prestasi Safawi

'Saya tak pernah kongkong, minta duit dia' - Syifa Melvin

Pawi minta maaf prestasi buruk

Azraai harap Safawi fokus

Syifa tak kemaruk nak kahwin

TMJ hilang sabar dengan Safawi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 8:19 PM