AZLEE Khairi. FOTO Aziah Azmee
AZLEE Khairi. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

KEPUTUSAN muncul semula dalam kerjaya seni yang pernah melonjakkan namanya ke tahap popular sekitar 2013, ternyata pilihan tepat dibuat pelakon Azlee Khairi.

Mula aktif kembali menerima tawaran berlakon pada penghujung tahun lalu, hingga kini Azlee, 30, mengakui dia belum berpeluang untuk berehat disebabkan jadual kerja yang padat.

Bersyukur dengan rezeki dimilikinya sempena ‘penjenamaan semula’ dibuat, Azlee berkata, dia tidak menduga betapa bakat lakonannya masih diterima baik peminat.

“Jumlah pengikut di media sosial saya seperti Instagram pun semakin bertambah. Justeru, ia menjadi pembakar semangat buat saya bekerja dengan lebih bagus dan nekad tidak mahu ‘menghilang’ lagi.

“Terus-terang pada awal saya aktif berlakon semula, ada terfikir juga penerimaan peminat. Apakah saya sudah dilupakan dan mungkin berhadapan kesukaran untuk diterima semula serta mendapat peluang.

“Namun, sangkaan itu meleset kerana masih ramai peminat yang ingat pada saya lagi. Malah, mereka menyokong saya dengan padu dan tawaran berlakon diterima tidak putus,” katanya.

Azlee yang muncul dengan drama Seadanya Aku di slot Akasia TV3 bersama heroin lamanya, Zara Zya pada Januari lalu selepas lima tahun ‘angkat kaki’ menyepi, kini makin jadi sebutan peminat menerusi drama Maaf Tak Indah.

WATAK Raimie lelaki ego yang dibawa dalam drama Maaf Tak Indah sangat berkesan. FOTO Aziah Azmee
WATAK Raimie lelaki ego yang dibawa dalam drama Maaf Tak Indah sangat berkesan. FOTO Aziah Azmee

Berganding buat pertama kali dengan pelakon Azar Azmi, lakonan mereka sangat berkesan. Apatah lagi, untuk watak Raimie lakonan Khairi yang memerlukan dia menjadi lelaki yang terlalu ego.

“Disebabkan ego Raimie yang tinggi melangit hingga melukakan hati Syazan (watak Azar) membuatkan natijahnya saya dikecam teruk oleh warganet.

“Walaupun sekadar lakonan, saya tidak sangka ia begitu meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Saya dimaki dengan perkataan kesat melalui mesej langsung (DM) dihantar ke Instagram.

“Banyak juga kecaman diterima, tetapi saya faham bahawa lakonan berjaya. Saya tidak kecil hati pun kerana ia hanya lakonan. Dalam realiti, saya tidaklah terlalu ego seperti Raimie,” katanya.

Bercadang mahu bercuti seketika sepanjang Ramadan ini, Azlee berkata dia perlukan rehat. Ujarnya, sudah beberapa bulan bekerja tanpa cuti, kesihatan diri harus dijaga.

Mengulas perancangan lain yang mahu dia cuba selain berlakon, Azlee berkata, mungkin menjadi pengacara. Jelasnya, dia akan beranikan diri mencuba jika diberi peluang.

“Bagaimanapun, untuk menyanyi pula saya fikir belum masanya. Bukan takut mencuba tetapi ada perkara perlu dilakukan dulu seperti mempersiapkan diri dan mengikuti kelas vokal.

“Menyanyi pun memang saya minat tetapi masih tahu yang nyanyi secara serius dan aktiviti karaoke adalah dua perkara berbeza. Saya harus belajar vokal dahulu kalau teringin jadi penyanyi,” katanya.

Apapun, anak jati kelahiran Perak ini berkata, sekarang dia lebih selesa memantapkan lagi kerjaya lakonannya memandangkan ada tawaran dan diterima penonton,” katanya.

Pilih berlakon drama adaptasi novel

Jika sekitar tujuh tahun lalu, Azlee pernah menarik perhatian penonton menerusi drama adaptasi novel Love You Mr Arrogant, kini kejayaan itu diteruskannya lagi.

Selain drama Seadanya Aku yang diadaptasi daripada novel, Azlee juga membintangi karya daripada novel lain seperti drama Maaf Tak Indah dan akan datang, Derhaka Cinta Jebat pula.

Berbicara mengenainya, Azlee berkata, sebagai pelakon yang mula mengatur langkah kembali, dia enggan bersikap terlalu memilih tawaran.

Katanya, apa pun setakat ini dia selesa berlakon drama daripada karya adaptasi novel kerana watak diterimanya sangat sesuai dan mampu dilakonkan dengan baik.

“Ditambah lagi, saya digandingkan dengan rakan pelakon yang boleh berlakon dengan baik dan masing-masing mampu membentuk kerjasama.

“Ia sangat penting buat saya kerana bila boleh bekerjasama secara tidak langsung membantu mewujudkan keserasian dalam watak,” katanya.

Mengulas gandingannya yang kerap bersama pelakon Datin Elvina Mohamad, pelakon drama Setulus Janji ini berkata, dia bersikap terbuka.

“Saya pun tak tahu kenapa kami sering diganding bersama oleh pengarah dan penerbit. Ikutkan sudah beberapa drama saya berlakon sama dengan Elvina.

“Bagi saya, siapa saja gandingan pelakonnya tak kisah pun. Saya okey saja asalkan kerjasama kami berjalan lancar dan lakonan diberikan berkesan.

Ditanya juga mengenai watak pembantu katanya, dia tidak kisah menerima apa saja tawaran karakter asalkan jalan cerita karya dilakonkan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:00 AM