KEMENTERIAN Kesihatan turut meletakan risalah yang menyatakan kesan jangkitan COVID-19 di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah-langkah pengawalan penyebaran wabak berkenaan. FOTO BERNAMA
KEMENTERIAN Kesihatan turut meletakan risalah yang menyatakan kesan jangkitan COVID-19 di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah-langkah pengawalan penyebaran wabak berkenaan. FOTO BERNAMA
Suraya Roslan


SEBANYAK 20 kes baharu Covid-19 dilaporkan sehingga hari ini menjadikan jumlah kumulatif mangsa positif wabak itu di Malaysia sebanyak 149 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kontak rapat bagi kes itu juga sedang dikenal pasti dan aktiviti pengesanan sedang dijalankan sehingga punca jangkitan diketahui.

“Dengan pertambahan 20 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 149 kes iaitu 22 kes dikesan dalam kalangan pesakit di bawah pemantauan (PUI) jangkitan Covid-19.

“Daripada jumlah itu, 124 kes dalam kalangan kontak rapat, satu kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) melalui survelan Covid-19 dan dua lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dua kes dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

“Daripada dua kes ini, satu kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh manakala satu lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

“KKM juga menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan SARI yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19,” katanya.

Menurutnya, sehingga Isnin lalu, sebanyak 600 sampel (138 SARI dan 462 ILI) diuji dan setakat ini satu sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan kes sporadik ini.

“KKM ingin memaklumkan semua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Februari lalu dibenarkan pulang ke rumah selepas menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT). Kesemua mereka tidak bergejala dan sampel ulangan bagi mereka disahkan negatif,” katanya.

Menurutnya, selain itu, kes ke-78 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj.

“Ini menjadikan 26 kes pulih sepenuhnya setakat ini daripada Covid-19 dan discaj daripada wad,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 5:47 PM
    Digital NSTP Subscribe