KEMENTERIAN Kesihatan turut meletakan risalah yang menyatakan kesan jangkitan COVID-19 di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah-langkah pengawalan penyebaran wabak berkenaan. FOTO Bernama
KEMENTERIAN Kesihatan turut meletakan risalah yang menyatakan kesan jangkitan COVID-19 di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai langkah-langkah pengawalan penyebaran wabak berkenaan. FOTO Bernama
Suraya Roslan


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang peserta ijtimak tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu positif Covid-19.

Pesakit yang dikenal pasti warga tempatan berusia 60 tahun itu adalah kes ke-131 yang dikesan KKM dan mula mempunyai gejala deman, batuk serta selsema pada 4 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu sesak nafas pada 8 Mac dan dimasukkan ke Hospital Bentong pada hari yang sama.

“Satu siasatan teliti dilakukan terhadap pesakit ke-131 itu dan mendapati dia mempunyai sejarah menghadiri perjumpaan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

“Berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia dengan penyertaan melebihi 5,000 orang,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurutnya, pesakit kemudiannya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 9 Mac dan ujian pengesanan Covid-19 yang diambil bagi kes ini disahkan positif pada keesokan hari.

“Ketika ini pesakit ini sudah diasingkan dalam wad isolasi dan sedang menerima rawatan,” katanya.

Katanya, KKM menasihatkan mereka yang menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac lalu segera menghubungi pejabat kesihatan daerah untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 dan berhubung terus CPRC hotline atau Pejabat Kesihatan Daerah.

Sebelum ini Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan anggaran 10,000 orang dari beberapa negara termasuk Malaysia dengan penyertaan melebihi 5,000 orang.

Maklumat itu adalah berdasarkan kes positif yang disahkan Covid-19 di Brunei melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) Brunei yang memaklumkan kepada IHR FP Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 12:47 PM
Digital NSTP Subscribe