FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
KAFE AHAD

Penularan wabak Covid-19 semakin menjadi ancaman kepada kesihatan global yang membimbangkan apabila bilangan pesakit dijangkiti terus meningkat termasuk di Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ini sebagai pandemik dan ia menggambarkan betapa teruknya Covid-19 ini.

Di negara ini, Hospital Sungai Buloh dijadikan hospital khusus merawat jangkitan kerana kelebihan kemudahan kesihatan dimilikinya.

Berikut penerangan diberikan Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh DR SURESH KUMAR CHIDAMBARAM berkaitan Covid-19.

Bagaimana cara mengenal pasti Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI)?

Individu dalam kalangan PUI dikenal pasti apabila mempunyai gejala jangkitan Covid-19 seperti demam, batuk dan mengalami akut pernafasan dalam masa 14 hari.

Petugas kesihatan akan mendapatkan maklumat daripada mereka sama ada pernah melancong ke negara yang diisytiharkan kawasan wabak seperti Korea Selatan, Jepun, Itali, Iran dan China.

Atau, mereka mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19 dan bagi perkara ini, ia lebih rumit.

Maksud kontak rapat ialah mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes yang disahkan positif Covid-19.

Kontak rapat membabitkan anggota keselamatan yang merawat kes itu tanpa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dan tinggal serumah bersama individu positif kes berkenaan.

Petugas kesihatan akan menemu ramah individu positif jangkitan ini dan juga mereka yang disyaki mempunyai kontak rapat dengan pesakit bagi mengetahui sejarah aktiviti mereka sebelum ini.

Bagi kontak rapat, individu ini perlu menjalani ujian ‘swap’ di dalam kerongkong dan hidung sebelum dimasukkan ke wad hospital untuk rawatan lanjut.

Kontak rapat perlu dimasukkan ke wad hospital jika mempunyai lima gejala iaitu sesak nafas, demam berlarutan sehingga empat hari, menghidap penyakit kencing manis dan penyakit lain, berhubung dengan kontak rapat serta hasil ujian makmal mendapati ia positif jangkitan ini.

DR SURESH KUMAR
DR SURESH KUMAR

Apakah langkah lanjut dilakukan terhadap PUI?

PUI dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Bagi kumpulan A, PUI dirawat di wad hospital sebagai pesakit Covid-19 apabila keputusan ujian pengesahan jangkitan menunjukkan hasil yang positif.

Manakala kumpulan B adalah PUI yang tidak dimasukkan ke wad.

Namun, petugas kesihatan akan melakukan siasatan untuk mengetahui kemungkinan mereka mempunyai sejarah melancong ke negara yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak atau sebaliknya.

Atau, mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19.

Bagi kumpulan B ini, ujian pengesahan jangkitan diambil dan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak Covid-19 dikeluarkan serta-merta dan mereka diperintahkan dikuarantin di rumah selama 14 hari.

Mereka turut diberikan borang Home Assessment Tool untuk merekodkan perkembangan kesihatan iaitu pemeriksaan suhu, demam dan batuk melalui borang berkenaan.

Selain itu, mereka juga dikehendaki menghadirkan diri ke pejabat kesihatan daerah untuk pemantauan kesihatan.

Sekiranya demam masih berterusan dan hasil ujian sampel pengesahan jangkitan itu positif, maka mereka perlu ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Bagaimana kemudahan di Hospital Sungai Buloh menguruskan jangkitan Covid-19?

Tidak dinafikan ada hospital menghadapi masalah kekurangan kemudahan seperti katil.

Lebih-lebih lagi apabila bilangan pesakit jangkitan ini semakin meningkat.

Bagaimanapun, Hospital Sungai Buloh sudah membuat persiapan awal untuk berhadapan situasi lebih buruk melalui pengurusan katil.

Setakat ini, Hospital Sungai Buloh tidak mempunyai masalah ini (kekurangan katil) untuk menampung pesakit Covid-19 mendapat rawatan sebaik-baiknya di sini.

Sebanyak 112 katil disediakan untuk merawat pesakit jangkitan Covid-19 yang ditempatkan di tingkat empat dan lima hospital ini.

Manakala 14 katil unit rawatan rapi (ICU) terletak di tingkat tiga, ia khusus untuk pesakit serius dan memerlukan rawatan rapi.

Boleh kongsikan cabaran dalam menguruskan jangkitan wabak ini?

Paling mencabar ialah berhadapan dengan orang ramai yang panik ekoran penularan wabak ini.

Hinggakan ada yang meminta untuk menjalani ujian saringan kesihatan di bahagian kecemasan hospital walaupun tiada sebarang gejala jangkitan Covid-19.

Malah ada yang datang dalam bilangan yang ramai (satu bas) kerana dihantar majikan ke hospital ini untuk pemeriksaan itu.

Ini termasuk mereka yang tidak pernah berhubung dengan mana-mana kontak rapat, tetapi didorong kebimbangan kerana demam dan batuk.

Mereka menjadi lebih panik apabila mengetahui terdapat kes baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan media.

Orang ramai tidak seharusnya berasa panik, sebaliknya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Jadikan amalan mencuci tangan dengan lebih kerap dan jangan menggosok muka atau mata tanpa terlebih dahulu mencuci tangan.

Hospital Sungai Buloh bakal dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit?

Tentunya kami berbesar hati apabila Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memilih Hospital Sungai Buloh sebagai hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal terutama jangkitan Covid-19.

Tambahan pula, hospital ini menyediakan kemudahan kesihatan yang lengkap termasuk tenaga pakar mencukupi.

Selain Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Hospital Rehabilitasi Cheras turut menjalankan fungsi yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 8:01 AM
Digital NSTP Subscribe