ADRIANA kini fokus pengacaraan dan lakonan selepas mula kerja separuh masa dengan Hlive. FOTO Amirudin Sahib
ADRIANA kini fokus pengacaraan dan lakonan selepas mula kerja separuh masa dengan Hlive. FOTO Amirudin Sahib
Ridzuan Abdul Rahman


MESKIPUN sudah banyak drama dibintangi personaliti cantik, Adriana Adnan, namun peminat lebih mengenalinya sebagai pengacara program hiburan Hlive.

Adriana, 25, yang pernah membintangi drama Suri Hati Mr Pilot dan Urusan Hati Cik Drama Queen mengakui, terdapat faktor penyebab rezekinya dalam lakonan belum menyerlah di mata peminat.

“Saya sekarang terbabit dengan penggambaran drama 26 episod berjudul Bila Hati Berbisik untuk tayangan di RTM.

“Sebelum ini semua drama saya hanya disiarkan di Astro. Tak dinafikan saya adalah ‘talent Astro’ tapi mungkin berlaku salah faham pada kalangan peminat yang menganggap saya tak boleh berlakon dengan produksi luar.

“Hakikatnya, kalau dilihat ada ramai lagi bakat kelahiran Astro yang bebas berlakon dengan mana-mana produksi dan lakonan mereka boleh ditonton di semua stesen TV,” katanya.

Adriana berkata, dia bersyukur apabila pengarah Wan Cromox membuka peluang untuknya melakonkan watak pembantu heroin dalam drama ini.

BEBAS berlakon di bawah mana-mana produksi, stesen TV walau dikenali sebagai pengacara HLive di Astro. FOTO Amirudin Sahib
BEBAS berlakon di bawah mana-mana produksi, stesen TV walau dikenali sebagai pengacara HLive di Astro. FOTO Amirudin Sahib

“Syukur baru sekarang rezeki saya hadir untuk berlakon dengan produksi lain. Mereka hubungi saya dan tanya sama ada berminat untuk berlakon dalam drama Bila Hati Berbisik.

“Saya tengok jadual saya pun cantik kerana ia kebetulan hadir pada masa saya nak aktif berlakon semula.

“Sebelum ini, dua tahun saya berhenti berlakon kerana mahu fokus pada Hlive. Bermula Februari lalu, saya mula bekerja secara separuh masa dengan Hlive hanya sebagai ‘talent’ dan bukan pekerja tetap,” katanya.

Adriana kini hanya terbabit sebagai pengacara dan selebihnya mempunyai banyak masa terluang untuk melakukan kerja lain.

“Waktu bergelar tenaga sepenuh masa dengan Hlive ada tawaran berlakon yang terpaksa ditolak.

“Dulu saya jadi pengacara, wartawan lokasi, penyunting kandungan dan kadangkala kena terbitkan program Hlive Antarabangsa.

“Apapun saya sebenarnya dah melengkapi apa yang diminati iaitu pengacara, wartawan dan penerbit. Untuk masa sekarang, biarlah saya fokus dengan pengacaraan dan lakonan. Pengacaraan adalah ‘forte’ saya, manakala dalam lakonan pula alhamdulillah ada bakat harus diketengahkan,” katanya.

Adriana juga pernah menjadi pengacara program bual bicara menjurus konsep gaya hidup secara langsung sebelum ini, tidak menolak mahu terbabit lagi dalam program yang sama jika mendapat peluang.

Idam berlakon watak utama

Bercerita mengenai watak lakonan, Adriana tidak menafikan sinonim diberikan watak rakan baik kepada heroin dan ‘happy go lucky’.

“Saya tak boleh tolak apabila sering ditawarkan watak yang hampir sama saja. Cuma, hanya dalam Urusan Hati Cik Drama Queen ada antagonis dan itu saja yang lain.

“Kalau boleh saya tak nak watak sama kerana mahu nak pelbagaikan lagi karakter. Saya teringin bawa watak utama pula. Saya rasa mampu buat.

“Untuk bawa watak sampingan, memang mudah kerana ia sangat natural. Cuma, saya kena tambah sifat keanak-anakan untuk menampakkan lagi keceriaan,” katanya.

ADRIANA Adnan lengkapi apa yang diminati iaitu pengacara, wartawan dan penerbit. FOTO Amirudin Sahib
ADRIANA Adnan lengkapi apa yang diminati iaitu pengacara, wartawan dan penerbit. FOTO Amirudin Sahib

Adriana tidak menolak karakter sebegini juga ada permainan emosi dalam beberapa babak.

“Biasanya konflik atau marah tetap ada dan ia turun naik ikut jalan cerita. Tunggulah, kalau ada watak antagonis selepas ini.

“Mungkin satu hari nanti saya dapat watak utama pun saya okey dan akan cuba sedaya upaya buat yang terbaik.

“Saya pun dah pernah berlakon genre komedi dalam Jula Juli Bintang Cinta bersama Zizan dan Mira Filzah. Alhamdulillah apa yang saya buat semua orang suka,” katanya masih menanti watak mencabar yang boleh menyerlahkan bakat lakonan.

Selain berlakon, Adriana juga baru selesai menghabiskan rakaman program Fashion Fab untuk 13 episod.

“Selain sibuk dengan kerjaya seni, saya juga aktif mengusahakan perniagaan produk kecantikan Hunny Lush Beauty yang diwarisi daripada ibu saya.

“Peminat generasi sekarang kenal saya menerusi saluran YouTube, manakala golongan makcik-makcik pula kenal menerusi drama.

“Alhamdulillah setakat ini saya tak pernah diganggu di laman sosial. Lagipun saya banyak kongsi berkenaan perniagaan. Kalau ada komen yang mengarut, saya delete dan sekat mereka. Tak perlu bagi mereka publisiti,” katanya tegas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:00 AM