POLIS meminta lelaki yang menular rakamannya dalam media sosial kerana mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan dan makan beramai-ramai di sebuah rumah di kampung di kawasan Langgar untuk tampil bantu siasatan. FOTO IHSAN PEMBACA
POLIS meminta lelaki yang menular rakamannya dalam media sosial kerana mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan dan makan beramai-ramai di sebuah rumah di kampung di kawasan Langgar untuk tampil bantu siasatan. FOTO IHSAN PEMBACA
Zuliaty Zulkiffli


POLIS memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan video tular seorang lelaki mempertikai Perintah Kawalan Pergerakan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa di Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata berdasarkan siasatan awal, pihak polis percaya video itu dirakam di satu kawasan sekitar Langgar di Alor Setar.

Katanya, berikutan itu polis memohon lelaki yang membuat rakaman video terbabit tampil ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bagi membantu siasatan.

“Jangan main-main, Perintah Kawalan Pergerakan ini dilakukan untuk menangani penularan jangkitan wabak Covid-19 dan bukannya arahan sesuka hati.

“Kita minta orang ramai yang mengenali individu dalam video atau lelaki itu sendiri tampil secepat mungkin untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, Alor Setar, hari ini.

Katanya, tindakan lanjut akan dilakukan sekiranya lelaki itu tidak tampil bagi membantu siasatan.

Video yang berdurasi 57 saat menunjukkan lelaki itu sedang merakam suasana di sebuah rumah yang didatangi orang ramai sambil menikmati hidangan berasaskan kambing termasuk kepalanya.

Sambil melemparkan kata-kata kesat, lelaki itu mempersoalkan isu kuarantin di rumah seperti yang disarankan kerajaan sejak perintah itu berkuat kuasa mulai Rabu lalu hingga 31 Mac ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 5:06 PM