Nor Farhani Che Ad


TEMPOH akad nikah dipendekkan, tiada pihak bersalaman dan penjarakan sosial dijaga selain jumlah rombongan tidak melebihi 12 orang.

Itu syarat ditetapkan untuk pengantin yang mahu melangsungkan pernikahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 31 Mac ini, yang dikendalikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Jamaluddin Ahmad, 47.

Beliau yang juga Imam Masjid ‘Ibadur Rahman Permatang Berangan, Sungai Petani melaksana proses pernikahan bersyarat itu seperti termaktub dalam arahan Jabatan Mufti Negeri Kedah dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semalam, beberapa video pernikahan pengantin yang dikendalikannya tular di media sosial sehingga menarik perhatian masyarakat.

Dalam video itu, Jamaluddin dilihat berada di dalam pagar kawasan rumahnya di Taman Seraya, Sungai Petani melangsungkan akad untuk pasangan mahu disatukan.

Jamaluddin ketika dihubungi berkata, mengambil langkah begitu demi keselamatan masyarakat berikutan penularan Covid-19.

“Memandangkan masjid tidak boleh digunakan ketika ini, jadi majlis pernikahan perlu dilakukan di rumah dan saya tidak mahu ia diadakan di rumah pengantin kerana sukar mengawal jumlah tetamu.

“Jadi, pasangan perlu datang ke rumah saya dan saya juga mengehadkan jumlah kehadiran iaitu tidak lebih daripada 12 orang termasuk saya dan saksi perkahwinan,” katanya.

Selain itu, Jamaluddin berkata, beliau turut memastikan setiap tetamu itu berada dalam jarak satu meter sesuai penjarakan selamat yang ditetapkan, manakala masa untuk akad tidak melebihi 10 minit.

“Semua kena berlangsung dalam 10 minit dan selepas ini bersurai,” katanya yang mengakui ada orang pelik dengan upacara ringkas begitu namun, beliau menegaskan ia berlangsung dengan memenuhi rukun dan syarat sah perkahwinan.

Pengantin perempuan, Nur Sabrina Mohd Zailani, 22, mengakui terkejut apabila diminta hadir ke rumah tok kadi untuk acara pernikahan sedemikian.

“Saya terkejut apabila imam tak keluar dari pagar rumahnya dan dia suruh kami duduk jauh-jauh.

“Tapi apabila difikirkan kembali, ada betulnya tindakan imam itu kerana ia demi kebaikan kami semua pada musim penyakit Covid-19 ini,” katanya yang disatukan dengan Mohammad Farizuan Saari, 24.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 2:53 PM
    AKAD nikah kendalian Jamaluddin (dalam pagar) mengikut saranan kerajaan.
    AKAD nikah kendalian Jamaluddin (dalam pagar) mengikut saranan kerajaan.